Pemuda UMNO Tegas Dukung Muafakat Nasional – Dr Asyraf Wajdi


KUALA LUMPUR, 15 Nov – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia hari ini menegaskan bahawa video viral yang melibatkan seorang Exco pergerakan tersebut adalah pandangan peribadi beliau dan tidak menggambarkan pendirian rasmi Pemuda UMNO Malaysia.

Jelas Ketuanya Datuk Dr. ASyraf Wajdi Dusuki, video tersebut sebenarnya telah dirakam sebelum agenda Penyatuan Ummah dan Muafakat Masional mula dibincangkan lagi.

“Video viral tersebut yang dikatakan ingin menarik kembali hak demokrasi kaum-kaum bukan Melayu di negara ini bukanlah suara Pergerakan Pemuda UMNO.

“Pemuda UMNO ingin menegaskan bahawa pergerakan ini sejak dari awal antara pengerak utama agenda Muafakat Nasional dan yang terawal menggerakkan komponen-kompenen Barisan Nasional (BN) dari kalangan MCA dan MIC. Malahan, Pemuda UMNO merupakan antara yang terawal menyokong kepimpinan BN untuk meletakkan calon dari MCA untuk PRK Parlimen P. 165 Tanjung Piai atas semangat merealisasikan agenda Muafakat Nasional,” ujar beliau dalam satu status yang dimuatnaik di media sosial.

Tambah Dr Asyraf, Pemuda UMNO juga yakin dan percaya bahawa Muafakat Nasional adalah kunci untuk mengembalikan Malaysia kepada acuan yang asal iaitu sebuah negara yang aman, harmoni dan progresif dengan kerangka masyarakat yang majmuk, kepelbagaian Agama dan Bangsa berpaksikan Perlembagaan Persekutuan dan semangat Rukun Negara.

Sementara itu, Exco terbabit iaitu Wan Muhammad Azri Wan Deris berkata, video rakaman beliau mengenai hak mengundi kaum Cina dan India adalah video lama yang dikitar semula oleh Dap malah video tersebut diambil tanpa melihat rakaman penuh asal.

Azri yang lebih dikenali sebagai Papagomo menjelaskan, Dap sebenarnya terdesak untuk meraih undi kaum Cina dan India sehingga sanggup melakukan apa sahaja demi kemenangan di PRK Tanjung Piai.

“Video yang direkodkan pada Oktober 2018 ini sebelum ini juga telah diviralkan pada November 2018. Video itu adalah pandangan saya mengulas kenyataan Senator Dap, Nga Hock Cheh yang didakwanya membangkitkan isu status agama pada MyKad.

“Kenapa tidak keluarkan rakaman penuh video itu kerana pandangan saya itu ditujukan khas kepada Dap… Senator Dap yang telah membangkitkan isu di Dewan Negara yang mana mahu perkataan Islam dibuang dari kad pengenalan orang Islam,” tegas beliau. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.