Kerajaan PH Tidak Berkualiti Dan Berkredibiliti… Banyak Buat Kerosakan


TANJUNG PIAI, 15 Nov – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang diterajui Tun Dr Mahathir Mohamad ternyata tidak mempunyai kualiti dan berkredibiliti dalam mentadbir serta mengurus negara, tegas Ketua Penerangan UMNO Malaysia Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Atas ketidakcekapan PH itu bidasnya lagi, mereka memberikan alasan dangkal bahawa kerajaan terdahulu, Barisan Nasional (BN) telah membuat kerosakan hingga menyebabkan tidak mampu menunaikan janji-janji.

Menurut Dr Shamsul, realitinya pada hari ini apa yang berlaku sebaliknya apabila PH sebenarnya yang telah banyak membuat kerosakan terhadap ekonomi negara ini, dengan memberikan contoh nilai mata wang dan indeks saham sebagai indikator.

“Ekonomi negara waktu kita tinggalkan pada 9 Mei 2018, duit kita dibandingkan dengan Dollar Amerika, USD1 adalah RM3.18. Tetapi hari ini USD1 bersamaan RM4.19, sudah jatuh. Siapa yang buat kerosakan, kita atau kerajaan hari ini?

“Di bursa saham waktu kita tinggalkan 1,850 lebih mata sekarang 1,500 mata, waktu kita tinggi waktu mereka turun. Siapa yang membuat kerosakan? Kerajaan PH,” tegasnya ketika berceramah sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai di Kampung Permas Kelapa, Pusat Daerah Mengundi (PDM) Sungai Durian di sini, Khamis malam.

Turut tampil berceramah, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid yang juga Ahli Parlimen Padang Terap; Ahli Jawatankuasa PAS Pusat dan Ahli Parlimen Bachok, Nik Abduh Nik Abdul Aziz dan Ketua Penerangan Pemuda UMNO Larut, Mohd Shafiq Fhadly Mahmud.

Tambah Dr Shamsul yang juga Ahli Parlimen Lenggong, kecekapan BN dahulu mengurus ekonomi negara turut diyakini masyarakat luar serta mendapat pengiktirafan dari badan penarafan antarabangsa seperti Moody’s dan Fitch Ratings.

Di samping itu, Dr Shamsul juga berkeyakinan negara mampu berada dalam 20 kelompok negara yang terunggul jika BN masih memegang tampuk pemerintahan negara, tetapi ia tidak berlaku di bawah PH kini.

“Yang menjadi masalah kerajaan hari ini ialah mereka menjadi sebuah kerajaan yang tidak diyakini oleh pelbagai pihak.

“Macam mana hendak yakin sebab menteri kewangan pembohong. Hutang negara kita waktu BN RM686.8 bilion. PH tunjuk kepada masyarakat luar kononnya BN tinggalkan hutang yang banyak dan teruk hutang kita RM1 trilion.

“Nak bagi orang percaya… kutip derma buat tabung harapan. Bila buat begitu orang lagi tak yakin… sebab itu Tun Mahathir pergi ke China, Jepun, Amerika Syarikat, Pakistan satu habuk pelaburan tak masuk ke negara kita,” katanya lagi.

Justeru ujarnya, dengan pelbagai masalah yang telah dilakukan oleh kerajaan terutama mengabaikan kepentingan dan kebajikan rakyat, pengundi di Tanjung Piai perlu memberi signal kepada Tun Mahathir dengan menolak PH.

“Kerajaan hari ini tidak boleh dipercayai. Keputusan di Tanjung Piai adalah gambaran rakyat keseluruhan, semua orang marah tetapi tidak boleh mengundi kecuali orang di Tanjung Piai.

“Kalau dia kata undi BN tak dapat projek pembangunan dan bantuan, dia salah tak bertanggungjawab, kerana apa? Tanggungjawab kerajaan membangunkan rakyat, tanggungjawab kerajaan memberi bantuan kepada rakyat sebab kita rakyat Malaysia.

“Yang dibelanjakan oleh kerajaan bukan duit PH, itu duit rakyat. Mereka hanya diberi amanah dan kita berhak,” gesanya lagi.

Dr Shamsul juga berkata UMNO dalam usaha mewujudkan Ensiklopedia UMNO yang akan memaparkan pelbagai polisi dan dasar yang diperkenalkan oleh BN adalah hasil cetusan idea dan pemikiran Perhimpunan Agung UMNO

“Hampir keseluruhan agensi, kebanyakan polisi dan dasar seperti Tabung Haji, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional ianya hasil daripada pemikiran Perhimpunan Agung UMNO.

“Daripada situlah banyak tercetus polisi kerajaan, begitu juga hasil cadangan rakan-rakan kita daripada MCA, MIC dan rakan-rakan lain,” katanya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.