Peraturan Baharu Kempen: Kerajaan ‘Kong Kali Kong’, ‘Flip-Flop’ Makin Terserlah – Noh

 

KUALA LUMPUR, 14 Nov – Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar melihat sikap ‘flip-flop’ kerajaan hari ini makin terserlah malah tindak-tanduk mereka seolah-olah suka melakukan sesuka hati termasuklah berkaitan peraturan kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai.

Menjelaskannya, Noh berkata beliau telah membawa usul berkaitan arahan yang dibuat oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang meminta supaya kempen rumah ke rumah perlu mendapatkan permit polis.

“Walaupun usul tadi telah pun ditolak atas alasan yang diberi oleh Speaker kepada saya iaitu pertama mengatakan usul saya tadi telah pun dijawab oleh menteri dalam soalan pertanyaan menteri pagi tadi, namun jawapan menteri tadi memang mengelirukan dan tidak tepat dengan undang-undang pilihan raya itu sendiri.

“Dan keduanya juga dimaklumkan dalam surat ini bahawa pihak polis tidak akan menguatkuasakan peraturan ini. Ini yang kita nak tekankan dan ini surat rasmi dan kita harap jawapan yang diberi oleh pihak Yang Di-Pertua Dewan bahawa pihak polis tidak akan menguatkuasakan peraturan baru ini menunjukkan bahawa jawapan menteri tadi memang mengelirukan dewan,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, di sini, hari ini.

Jelas Noh, jika menteri mengatakan boleh mengapa pula pihak polis mahu membatalkan arahan peraturan baru.

“Sebab menteri kata tadi boleh… kalau jawapan menteri kata boleh, mengapa polis nak batalkan peraturan baru… nampak tak kontradik? Menteri jawab peraturan itu mengikut undang-undang, tetapi kalau ikut maklumat ini pula kata polis tidak akan menguatkuasakan peraturan,” tambahnya.

Sambil mengucapkan terima kasih kepada Ketua Polis Negara, beliau turut mengharapkan peraturan itu tidak akan dikuatkuasakan dan ditarik serta-merta kerana tempoh berkempen hampir tamat.

“Sebab itu saya kata tadi bahawa menteri pun tidak tahu apa yang dijawab dan kami ucapkan terima kasih kepada Ketua Polis Negara sekiranya usul yang kita bawa supaya undang-undang ini jangan dikuatkuasakan dan kita harap penguatkuasaan tarik balik arahan ini hendaklah dibuat dengan serta-mera kerana kita tidak ada masa lagi berkempen.

“Jadi kesimpulan yang saya nak beritahu ialah inilah kerajaan ‘kong kali kong’, kerajaan ‘flip-flop’, kerajaan yang suka buat sesuka hati dia dan apabila kita bersuara barulah kita lihat tindakan-tindakan ini diambil.

“Sebab itulah kita juga berharap di Tanjung Piai, rakyat bangun memberikan sokongan kepada Barisan Nasional (BN), maka signal kerajaan yang buat hari ini, pertauran yang dibuat, ekonomi dan sebagainya memang menyusahkan rakyat dan ini satu contoh bahawa peraturan baru dibuat,” ujarnya.

Terdahulu sebelum itu, beliau membawa usul dibawah Peraturan Mesyuarat 18(1) untuk dibahaskan berhubung arahan oleh SPR berkaitan kempen PRK rumah ke rumah yang perlu mendapatkan permit daripada polis.

Namun usul berkenaan ditolak oleh Speaker menerusi surat yang diberikan kepada Ahli Parlimen Tanjong Karang berkenaan. UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.