PRK Tanjung Piai ‘Warning’ Untuk PH, Penanda Aras Pelaksanaan Muafakat Nasional


KUALA LUMPUR, 13 Nov – Muafakat Nasional yang menjadi sebutan di kalangan rakyat hari ini dan secara kebetulan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai bakal berlangsung Sabtu ini semestinya akan menjadi penanda aras kepada kerajaan yang ada sekarang.

Bagi aktivis NGO yang veteran UMNO, Datuk Nasir Safar, PRK Parlimen Tanjung Piai boleh menjadi ‘warning’ kepada kerajaan dengan kehadiran pertama kali Muafakat Nasional yang sebelum ini ditohmah dan dilabel dengan pelbagai tafsiran dan juga dakwaan.

Menurut beliau apabila disebut Muafakat Nasional, ianya adalah satu perkara yang paling sesuai hari ini yang mana bukan sahaja tidak meminggirkan pelbagai parti politik malah tidak mengenepikan mana-mana bangsa dan juga mana-mana agama di negara ini.

“Ekonomi semua rakyat terbeban. Jadi kita jadikankanlah PRK Tanjung Piai sebagai aras tanda pertama untuk ‘warning’ kepada kerajaan setelah kita ada Muafakat Nasional dan menjadi tanda aras utama untuk membina kembali keyakinan kepimpinan lama dahulu berdasarkan BN .

“Saya rasa inilah waktu dan masa yang sesuai. Biarpun dalam tempoh masa terdekat ini kalau BN menjadi kerajaan semula memang sukar untuk kita nak melaksanakan kerana banyak perkara yang sudah lari daripada garis yang kita berikan, namun masih ada peluang… peluang ke arah perpaduan nasional.

“Hari ini kita tidak perlu bergasak menunjukkan kekuatan… biarlah dalam dunia ini kita boleh hidup aman damai, cari makan dan sebagainya. Masyarakat Cina berniaga orang Melayu pun tolong, orang India berniaga masyarakat Cina pun tolong dan Melayu berniaga masyarakat lain tolong… begitulah sebaliknya dalam kehudupan kita di negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Segmen PRK yang membawa tajuk ‘PH Tiada Harapan Untuk Rakyat’, terbitan Penerangan UMNO Malaysia disiarkan secara langsung menerusi facebook UMNO-Online, di sini, Selasa malam.

Nasir seterusnya menegaskan apabila Muafakat Nasional ditohmah sebagai ‘taliban’, ianya adalah satu tuduhan yang melampau dan tidak boleh sama sekali dikeluarkan kerana Islam adalah penyatuan ummah yang memberikan hak kepada setiap individu dalam sesebuah negara.

“Muafakat nasional satu perkara yang paling sesuai sekali hari ini dan ianya tidak meminggirkan bangsa lain. Kalau parti politiknya… kita tidak pinggirkan MCA, MIC dan sebagainya lagi. Dengan pembentukannya, satu kaedah terbaik untuk negara dan rakyat melangkah ke depan untuk menyelesaikan pemikiran baru sebab pemikiran baru ini memerlukan satu konsep perpaduan. Tanpa perpaduan untuk melakukan sesuatu akan gagal,” ujarnya.

Tambahnya lagi, dalam konteks BN dari dahulu ianya tidak membina masyarakat di negara ini dalam bentuk rasis.

“UMNO, MCA, MIC dan sebagainya lagi dalam membentuk perpaduan itu dapat dibuktikan. Kita tidak membentuk nilai yang mempunyai pemikiran yang rasis. Di Tanjung Piai, Dr Wee Jeck Seng boleh diterima oleh masyarakat di kawasan berkenaan.

“Boleh masuk kampung sendiri dan sebagainya lagi, maka dia ini tidak kira siapa kamu. Dia kira Tanjung Piai saya adalah Ahli Parlimen yang akan bantu semua orang dan itu adalah konsep BN sejak dahulu,” ujarnya lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.