PH Terdesak Raih Undi, Tanpa Malu Ambil Kredit Usaha BN – Tok Mat Pantun


TANJUNG PIAI, 13 Nov – Bersahaja, keletah dan kepetahannya dalam berceramah sering membuatkan orang yang mendengarnya tidak kering gusi.

Walaupun berunsur jenaka yang diselang-seli dengan pantun, dahulu terkenal dengan Mat GST dan kini Mat Pantun, isi ceramah yang disampaikan oleh Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan tetap berasaskan fakta.

Antara pantun Ahmad yang paling popular adalah seperti berikut:

Jika tuan pergi memancing,
Jangan lupa membawa umpan,
Jika tak mahu kena kencing,
Jangan undi Pakatan Harapan.

Selasa malam, di Kampung Sri Bunian, Pusat Daerah Mengundi (PDM) Tenggayon dalam siri ceramah kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, Ahmad yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO membidas pemimpin kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang dilihat terdesak meraih undi dengan tanpa segan silu mengambil kredit walaupun ia merupakan usaha kerajaan terdahulu, Barisan Nasional (BN).

Antara yang disentuh adalah berkaitan projek-projek pembangunan yang berkaitan dengan penduduk Tanjung Piai.

“15 Okt lepas, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun ada sebut jalan raya sepanjang 15 kilometer bernilai RM65 juta sudah 90 peratus siap, awal tahun depan siap – Jalan dari Tanjung Piai ke Pekan Nenas.

“Dia sebut macam la projek dia… ini adalah projek kita era BN, itu sebab sudah 90 peratus siap, tapi dia yang mengumumkan, ini satu contoh. Bererti kalau kita nak pergi Pekan Nenas ada jalan potong. Ada faedah untuk orang-orang di kawasan terlibat,” katanya.

Hadir sama Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir.

Begitu juga katanya, mengenai projek jambatan yang diumumkan oleh Exco Kerajaan Negeri Johor, Mohd Solihan Badri seminggu sebelum hari penamaan calon.

“Satu lagi, seorang Exco kerajaan negeri, Solihan Badri pada 22 Okt mengumumkan jambatan di atas Sungai Pulai, 7.5 kilometer siap 20 peratus sekarang ini.

“Dari Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) ke Tanjung Bin yang orang-orang di Tanjung Piai dan Pekan Nenas seramai 100 ribu penduduk boleh melaluinya untuk ke Johor Bahru dan tidak jem, bernilai RM673 juta.

“Uhhh… macam la projek dia. Sekali lagi puak-puak ini mengaku, tadi menteri yang ni exco kerajaan negeri dua-dua projek kita zaman Datuk Najib dan Datuk Khaled,” tambahnya lagi.

Dalam ceramahnya, Ahmad juga membidas kerajaan PH yang gagal menunaikan janji-janji yang termaktub di dalam buku Harapan seperti menurunkan harga minyak petrol, menghapuskan tol, caruman Wang Kumpulan Simpanan Pekerja (KWSP) untuk suri rumah, pendidikan percuma, had gaji RM4 ribu bagi pemotongan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) dan penghapusan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang tidak menurunkan harga barang.

“PH ini ‘Penipu Hebat’. Saya dah sebut ini dah lebih seribu kali dalam ceramah serata alam. Saya sebut PH-Penipu Hebat sampai sekarang masih tidak masuk jel.

“Tahu kenapa? Kerana memang betul mereka ‘Penipu Hebat’,” sindirnya yang membuatkan khemah ceramah riuh dengan gelak tawa.

Ahmad juga mengulas mengenai ketelusan dan ketegasan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kepada PH.

“Tadi di Dewan Rakyat saya bertanyakan kepada menteri yang jaga SPR V.K Liew. SPR kena telus dan adil terhadap beberapa perkara yang berlaku di Tanjung Piai.

“Yang pertama mengenai janji Menteri Besar Johor minggu lalu yang berkata kerajaan PH akan beri secara tunai dengan serahan tangan kepada nelayan elaun sebanyak RM1,000 pada minggu ini. SPR kena nasihatkan menteri besar jika buat batal pilihan raya ini.

“Kedua, kad sim percuma dalam majlis PH. Bukankah itu rasuah yang nyata. Ketiga, tiba-tiba ada kain rentang yang memfitnah calon. Keempat, menteri-menteri datang kebetulan peruntukan… kebetulan peruntukan,” tegasnya lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.