10 Kesalahan Pilihan Raya PH Bukan Permit Kempen Rumah Ke Rumah: Mana Keutamaan SPR?


KUALA LUMPUR, 13 Nov – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia kesal dengan tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang tiba-tiba mengenakan syarat baharu terhadap jentera parti dan calon iaitu keperluan mendapatkan permit daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) sekiranya ingin berkempen berjumpa pengundi dari rumah ke rumah.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mempersoalkan, kenapa sekarang ketika berbaki hanya tiga hari sahaja lagi sebelum hari pengundian PRK Tanjung Piai baru dikenakan syarat berkenaan?

Sebelum mengenakan syarat baharu yang masih kabur bahkan tidak ada peruntukan undang-undang yang jelas mengenainya, Pemuda UMNO menuntut SPR segera menjelaskan status kesalahan-kesalahan yang dilakukan PH di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954,” tegas beliau dalam satu kenyataan media hari ini.

Dr Asyraf memberikan 10 kesalahan pilihan raya PH seperti berikut:

1. Pemberian simcard percuma kepada pengundi oleh calon PH Haji Karmaine. (Seksyen 10(a) Akta Kesalahan Pilihanraya 1954)

2. Pengagihan minyak sawit kepada pengundi oleh Menteri Industri Utama Teresa Kok. (Seksyen 10(a) Akta Kesalahan Pilihanraya 1954)

3. Peruntukan RM3 juta bina dewan di Kukup oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin. (Seksyen 10(a) Akta Kesalahan Pilihanraya 1954)

4. Geran MPPK berjumlah RM230,000 dan peruntukan RM126,776 bagi Lampu Jalan oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar Rina Harun. (Seksyen 10(a) Akta Kesalahan Pilihanraya 1954)

5. Peruntukan RM4 juta untuk naik taraf kemudahan sukan dan rekreasi Tanjung Piai oleh Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq. (Seksyen 10(a) Akta Kesalahan Pilihanraya 1954)

6. Peruntukan Pembangunan RM7 juta yang diluluskan oleh Kementerian Ekonomi dan diumumkan oleh YB Tan Sri Muhyidin Yassin.
(Seksyen 10(a) Akta Kesalahan Pilihanraya 1954)

7. Peruntukan RM3 juta untuk tambah baik 3 jeti di Tangjung Piai, RM2 juta bagi Bantuan Nelayan dan sumbangan RM5,000 untuk SJKC Pei Chio Kukup Laut oleh Menteri Pertanian YB Salahuddin Ayub. (Seksyen 10(a) Akta Kesalahan Pilihanraya 1954)

8. Pengumuman Menteri Besar Johor untuk mengagih bantuan khas RM1,000 untuk nelayan-nelayan di Tanjung Piai. (Seksyen 10(a) Akta Kesalahan Pilihanraya 1954)

9. Pengumuman pemberian peruntukan bina 6 buah Dewan Terbuka bagi 5 buah sekolah di Tanjung Piai oleh Menteri Pendidikan YB Maszlee Malik. (Seksyen 10(a) Akta Kesalahan Pilihanraya 1954)

10. Ceramah Hasutan dan Rasis Menteri Kewangan Lim Guan Eng dan Menteri Pertanian Salahuddin Ayub yang jelas bertentangan dengan Seksyen 4A(1) Akta Kesalahan Pilihanraya 1954. – UMNO ONLINE