Rakyat Tg Piai Pilih BN, Orang Kampung Makin Sengsara Di Bawah PH

TANJUNG PIAI, 12 Nov – Penduduk-penduduk Tanjung Piai khususnya nelayan, petani dan peniaga merasakan tidak berpuas hati dan kecewa terhadap pentadbiran Pakatan harapan (PH) hari ini.

Bagi Azali Sulaiman, 62, yang menjadi nelayan di sini merasakan kehidupannya memang jauh berbeza melihat kepada bantuan yang didapati semasa era Barisan Nasional (BN) berbanding kerajaan PH kerana ketika itu, bantuan BN lebih baik dam menetapi citarasa golongan nelayan.

“Wakil rakyat PH bukannya macam wakil rakyat BN yang ambil berat tentang permasalahan rakyat. Kita orang bawah… pemimpin di atas tidak mengambil perhatian… macam mana? Yang susah kita ini (nelayan) kais pagi makan pagi kais petang makan petang.

“Peruntukan sebanyak seribu ringgit yang akan diberikan kepada nelayan oleh PH telah dijanjikan sebelum bulan puasa lagi tapi sampai sekarang masih belum dapat. Baru-baru ini dikatakan peruntukan ini akan diberikan kepada nelayan tetapi tidak tahu bila tarikhnya.”

Katanya, nelayan-nelayan mengharap peruntukan yang diberikan untuk menambah kehidupan, membeli pukat dan sebagainya kerana tiada sesiapa yang hendak diharapkan.

“Kita kenal calon Pilihan raya Kecil (PRK) P165 Tanjung Piai ini, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng, beliau banyak jasa di sini dan setakat ini saya akan pilih yang lama, kalau yang baru ‘janji tinggal janji.’

“Masa nak PRK ini macam-macam menteri turun ke sini tapi janji lama apa yang dijanjikan ia tak dikotakan.

“Pilihlah pemimpin yang sesuai dan bertanggungjawab supaya yang miskin ini terbela nasib-nasibnya dan jangan sampi hidup melarat. Kalau dapat jangan ada lagi peminta sedekah dalam Malaysia ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, Rosman Abdul Rahim, 57, peniaga, merasa cukup sedih melihat keadaan kos kehidupan sekarang ini melambung naik dan akan terus naik.

Katanya, isu peningkatan kos sara hidup dan pendapatan tidak selari masa kini, boleh diibaratkan sebagai duri dalam daging.

“Kos sara hidup pada masa kerajaan PH amat menyedihkan, ‘cuma cakap-cakap kosong saja’ tanpa ada penyelesaiannya.

“Saya lihat harga dari segi harga komoditi kelapa sawit yang merupakan satu pendapatan utama. Sekarang ini harga merundum sehingga RM300 per tan, manakala pada zaman BN komoditi harga kelapa sawit meningkat ke RM800 per tan.

“Kalau boleh mahukan kehidupan kita lebih baik, kalau dulu kita boleh dapat dua ribu lebih ringgit, kita akan naikkan taraf hidup mungkin empat ribu atau lima ribu ringgit. Rata-rata sebelum itu penduduk kampung majoriti pendapatan bulanan lebih tiga ribu ringgit ke atas tapi sekarang…?”

Sementara itu Sutamat Palil, 61, bekerja sendiri, mengakui ekonomi negara ini semakin mengecil dan kos kehidupan semakin tinggi dan tidak seperti dulu.

“Pada zaman dulu bolehlah kalau seribu ringgit cukup untuk menampung kehidupan tetapi sekarang ini tidak mencukupi untuk menyara keluarga.

“Ikan sampai depan tangga, sayur sampai depan tangga, apa lagi… kalau dulu orang kampung tidak tahu makan KFC, tak tahu makan burger, tapi sekarang kita ke bandar bawa RM50 tak dapat apa-apa pun.”

Tambahnya lagi, kalau duit hanya seribu ringgit mana cukup untuk memberikan perbelanjaan anak-anak yang bersekolah mahupun Universiti.

“Sekarang ini keadaan ekonomi negara semakin teruk dan rakyat pun susah.”

Dalam pada itu, Tumiran Sai’in, 60, petani, berkata, kerajaan hari ini hanya pandai bercakap tapi hakikatnya hanya sekadar ‘tong kosong.’

“Memang kita hidup harus bersyukur tapi bersyukur dalam keadaan macam mana? Calon PH orang senang sekadar cakap saja … bolehlah beliau tidak merasai macam orang kampung sekarang ini semakin sengsara kehidupan.

“Masa zaman BN yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak pada masa setahun memang ada sengsara tapi hanya seketika. Selepas setahun pentadbirannya Alhamdulillah … saya bersyukur dapat memperbaiki kehidupan.”

Mengenai calon PRK Tanjung Piai, katanya, walaupun Dr Wee berbangsa Cina tetapi dibelakangnya orang Melayu sedangkan kalau sekarang pemimpin orang Melayu tapi dikuasai oleh bangsa Cina.

“Kita kena faham siapa yang menjawat Menteri Kewangan, kena faham Menteri Kewangan berbangsa Cina dan semuanya kena ‘control’ serta jawatan-jawatan yang penting dalam kerajaan semua dikuasai oleh kaumnya.” – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79