Raja Muda Perlis Tekankan Pentingnya Umat Islam Bersatu

KANGAR, 12 Nov – Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah penyatuan hati umat Islam merentas sempadan, kaum dan bangsa satu rahmat Allah SWT kerana umat Islam dapat hidup harmoni, diberi peluang berkongsi ilmu, memperluaskan pemikiran serta menghayati Islam sebagai satu cara hidup.

Baginda bertitah apabila memperkatakan Islam sebagai cara hidup, pernyataan itu bukan satu perbincangan ringkas sebaliknya perlu menjawab soalan sama ada Islam itu warisan atau gagasan, melalui keturunan atau pada ilmunya, benar atau salah itu pada manusia atau pada keterangan yang dibawa dalil.

“Jangan seseorang itu terlalu cepat dan mudah untuk menjawab, sebaliknya, fikirkanlah lebih mendalam dan berhati-hati. Benar ilmu itu pegangan utama, tapi bukankah ‘sarang’ ilmu itu terletak di minda manusia?,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Program Seminar Antarabangsa Tajdid Serantau 2019 yang diadakan di Kediaman Gabenor Provinsi Riau di Pekanbaru, Indonesia hari ini.

Teks ucapan baginda dikeluarkan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di sini, hari ini.

Raja Muda yang juga Yang Dipertua MAIPs dalam rangka lawatan kerja ke Provinsi Riau selama dua hari bermula semalam.

Turut hadir pada majlis perasmian itu, Gabenor Provinsi Riau Datuk Seri Setia Amanah Drs H. Syamsuar, Sekretaris Pejabat Daerah Riau H. Ahmad Syaharofi dan Sekretaris Jenderal Majlis Ulama Indonesia (MUI) Pusat, Dr H Anwar Abbas.

Turut serta dalam seminar berkenaan ialah wakil daripada Forkopinda (Forum Koordinasi Pimpinan Daerah), ketua-ketua jabatan dan agensi pemerintah di Provinsi Riau, kepimpinan Muhammadiyah dan Badan Zakat Nasional (BAZNAS) Riau.

Raja Muda bertitah seiring pantasnya perubahan dunia, Islam memiliki kaedah dan cara tersendiri bagi memastikan dirinya kekal kondusif dan dinamik dalam menangani segala masalah.

Pada akhir program itu, Raja Muda Perlis menyaksikan majlis pemeteraian perjanjian persefahaman kerjasama antara MAIPs yang ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Nazim Mohd Noor dengan Pimpinan Pusat Muhammadiyah Indonesia yang diwakili Dr H. Anwar. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.