Membela Diri Bukan Bermakna Bersalah, Peluang Najib Beri Penjelasan – Ismail Sabri

 

KUALA LUMPUR, 12 Nov – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang dipanggil untuk membela diri bukan bermakna didapati bersalah sebaliknya memberi peluang kepada Ahli Parlimen Pekan itu untuk mengemukakan saksi-saksi pembelaan.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, dari segi prosedur undang-undang selepas mahkamah memutuskan untuk memanggil membela diri, Datuk Seri Najib boleh membela diri secara keterangan bersumpah disoal balas oleh pendakwaraya, malah boleh memanggil saksi-saksi beliau.

“Kalau dulu saksi pendakwa dan keputusan hakim berdasarkan kenyataan daripada saksi pendakwa dan sekarang ini Datuk Seri Najib boleh memanggil saksi pembela pula… saksi daripada Datuk Seri Najib pula.

“Jadi selepas melihat dan mendengar kesemua saksi diakhir kes, maka mahkamah boleh memutuskan. Jadi maknanya Datuk Seri Najib diberikan peluang untuk memberikan penjelasan, alasan-alasannya dan sebagainya,” katanya kepada media di lobi Parlimen, di sini, hari ini.

Kata Ismail lagi banyak perkara yang dibangkitkan sebelum ini akan dapat dijelaskan oleh Datuk Seri Najib secara terperinci.

“Banyak perkara disebutkan dan dibangkitkan. Selepas ini beliau boleh terangkan dengan lebih terperinci. Saksi-saksi yang tidak dipanggil misalnya selepas ini Datuk Najib boleh memanggil,” ujar beliau.

Berhubung pelantikan terus daripada Parlimen mengenai jawatan-jawatan penting, Ismail menaruh keyakinan jika kerajaan benar-benar serius seperti di dalam manifestonya, ianya dapat direalisasikan menerusi pindaan perlembagaan.

“Sekarang ini walaupun dicadangkan masih lagi bergantung kepada Perdana Menteri siapa yang hendak dicadangkan kepada YDP Agong… bermakna masih lagi tidak ada ‘power’ dan ‘power’ kita hanya untuk memberi pandangan.

“Ini adalah seperti yang dibangkitkan wakil daripada kerajaan sendiri iaitu Pasir Gudang misalnya mahukan supaya kuasa terus diberi kepada parlimen untuk perlantikan jawatan penting seperti KP SPRM, Ketua Polis Negara, Peguam Negara dan sebagainya,” ujarnya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.