Kecilkan Penjawat Awam: Masalah Kekurangan Doktor Jangan Pandang Ringan


KUALA LUMPUR, 12 Nov – Ketua Pembangkang Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan Pakatan Harapan di bawah Kementerian Kesihatan harus mengkaji semula dasar memperkecilkan perjawatan memandangkan senario kekurangan doktor untuk menampung jumlah pesakit luar yang sangat tinggi.

Jelas beliau, masalah kekurangan doktor tidak boleh dipandang ringan dan kementerian harus melakukan sesuatu bagi mengatasinya.

“Kalau lihat dari laporan yang dibuat, 41.3 peratus pesakit luar menunggu selama enam jam di bahagian kecemasan… terlalu lama menunggu sebab masalah tidak cukup doktor.

“Pesakit terlalu ramai… terdapat lapan juta pesakit setahun jadi dasar memperkecilkan perjawatan Kementerian Kesihatan Malaysia sebanyak satu peratus setiap tahun perlu dikaji…. Sudahlah pesakit ramai, doktor tidak cukup, polisi pula terus mengecilkan perjawatan,” ujar beliau ketika sesi perbahasan di Parlimen, hari ini.

Tambah beliau, pihak kementerian seharusnya berbincang dengan JPA berkaitan isu kekurangan doktor kerana
hal ini tidak boleh dipandang ringan.

“Soal ini melibatkan pesakit jadi janganlah diperkecilkan jumlah perjawatan di kementerian kesihatan.

“Saya juga difahamkan graduan perubatan terpaksa menunggu dua tahun untuk mendapatkan jawatan mereka,” ujar beliau.

Selain itu, beliau turut mencadangkan agar kementerian berbuat sesuatu berkaitan pihak NGO dan swasta yang menghadapi kesukaran untuk membuka klinik hemodialisis.

“Pesakit menunggu untuk hemodialisis terlalu ramai. Banyak NGO dan pihak swasta berminat buka klinik tapi masalah besar dihadapi mereka adalah untuk adakan nefrologi. Jika tidak ada nefrologi kementerian kesihatan tidak akan membenarkan.

“Jadi akhirnya hasrat untuk bantu pasakit buah pinggang yang tidak mampu ditampung oleh kementerian kesihatan tidak akan tecapai.

“Jadi saya harap kementerian boleh ambil tindakan untuk membantu pihak NGO dan swasta,” ujar beliau lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.