Tak Mampu Urus Negara, Bubar… Mana Ada Kerajaan ‘Trial And Error’ – Khaled


TANJUNG PIAI, 11 Nov – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menempelak kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang mencipta pelbagai alasan atas ketidakmampuan mereka mengurus tadbir negara dan tidak mahu menunaikan janji.

Bidasnya, ini ditambah pula dengan pelbagai kerosakan yang telah PH lakukan kepada negara walaupun baru memerintah negara setahun setengah.

“Satu tahun setengah macam-macam kerosakan dia sudah buat. Nak tunggu lagi lama? Bukan itu sahaja, siap cakap kalau menang jadi kerajaan dibenarkan untuk ada tempoh percubaan.

“Mana ada dalam pilihan raya kalau jadi kerajaan, ini kerajaan ‘trial and error’ dalam memimpin dan mengurus negara. Lebih-lebih lagi dia kata dia sebuah kerajaan yang berprestasi tinggi.

“Prestasi tinggi apa? Terminal (jeti) Kukup kejap buka kejap tutup,” katanya dalam majlis Taqarrub di Kampung Ulu Pulai, Pusat Daerah Mengundi (PDM) Pekan Nenas Selatan, di sini Ahad petang.

Hadir sama Ketua UMNO Bahagian Hang Tuah Jaya, Mohd Ridhwan Mohd Ali; Ketua UMNO Bahagian Iskandar Puteri, Khary A. Malek dan Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama PAS Pusat Zuhar Harun.

Khaled turut memberikan contoh terbaru iaitu isu Sistem Transit Rapid (RTS) di mana PH tidak mampu mentadbir dan menjaga nama baik negara.

“Kita tahu 300 ribu orang yang duduk di Johor Bahru berulang-alik ke Singapura memerlukan sistem pengangkutan rel menggantikan kereta api Tanah Melayu.

“Tiga kali dia tunda, yang akhir dia kata tak tunda akan buat tetapi menteri Singapura dalam Parlimennya cakap Malaysia mohon untuk tunda dalam tempoh enam bulan.

“Maknanya apa? Maknanya mereka tidak bersedia, memalukan kita. Sepatutnya projek itu sudah dijalankan. Kalau tak boleh, tak mampu (perintah) bubarkan Parlimen, kita gantikan dengan Barisan Nasional (BN),” ujarnya lagi.

Khaled yang juga bekas Menteri Besar Johor berkata pilihan raya bukan sekadar untuk menunjukkan siapa yang mampu menabur janji tetapi yang lebih penting ialah dasar-dasar yang ditawarkan secara keseluruhannya.

“Apa penilaian untuk dijadikan asas dalam pemilihan pilihan raya kecil (PRK) ini sebagai satu permulaan ialah tawaran yang mereka beri berbanding dengan tawaran yang kita ada.

“Tawaran mereka Malaysia Baru, Malaysian Malaysia dan prinsip kesamarataan. Tawaran BN adalah Muafakat Nasional,” ujarnya.

Di dalam Muafakat Nasional jelasnya mempunyai dua tonggak.

“Perkara pertama adalah kekuatan politik Melayu dan Islam, yang wujud bila berlakunya penyatuan antara UMNO dengan PAS.

“Kita sanggup mengetepikan segala perselisihan kerana kita lihat kedudukan orang Melayu dan Islam terancam dalam negara. Kita lihat orang Melayu gundah-gulana, bimbang apa nak jadi kepada bangsa, agamanya.

“Maka bagi mengatasi kebimbangan itulah UMNO dan PAS tawarkan jalan penyelesaian dan secara langsung dapat meletakkan kembali kedudukan Melayu dan Islam sebagai teras dalam negara. Melayu sebagai bangsa induk dan dengan demikian kita boleh jaga kuasa dan agama Islam,” tambahnya.

Atas kesedaran bahawa negara ini adalah majmuk telah mewujudkan tonggak kedua iaitu mengajak semua yang berkepentingan untuk bersama-sama membangun dan memajukan negara, terangnya lagi.

Oleh itu katanya, pemilihan MCA sebagai calon BN di dalam PRK Tanjung Piai secara tidak langsung akan menyebarluas kepada masyarakat Cina akan konsep Muafakat Nasional, begitu juga MIC kepada masyarakat India. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.