PH, Selamilah Suara Hati Pekebun Kecil Sawit Sebelum Disuruh Bersyukur

KUALA LUMPUR, 11 Nov – Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, meminta pemimpin Pakatan Harapan (PH) khususnya calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai, Karmaine Sardini untuk menyelami hati para pekebun kecil sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan.

Katanya, ketika beliau turun berkempen di Kg Sungai Senai Dalam Peradin bawah Parlimen Tanjung Piai, beliau telah berkesempatan mendengar sendiri keluhan dari pekebun kecil.

“Harap Haji Karmaine dapat menyantuni nasib orang kampung sendiri sebelum mengeluarkan kenyataan yang boleh mengguris hati mereka.

“Harap juga Menteri Teresa Kok dan Kerajaan PH dapat melakukan sesuatu dengan segera untuk meningkatkan harga komoditi sawit, bukan sekadar berbangga dengan kempen ‘Sayangi Sawitku’ dan ‘Minum Secamca Sawit Sehari’,” katanya dalam kenyataan menerusi laman facebooknya hari ini.

Ujarnya, beliau yang turun padang di Tanjung Piai telah berkesempatan bertemu dengan Abang Nordin yang merupakan seorang pekebun kecil yang mempunyai kebun sawit sekitar 2 setengah ekar (rata-rata orang kampung di Tanjung Piai ini purata hanya ada 2-3 ekar kebun sawit seorang).

“Beliau berkongsi keperitan hidup hari ini sebagai pekebun kecil akibat harga sawit yang jatuh menjunam.

“Apabila calon PH berkata RM270 setan harga sawit itu sudah ‘tinggi’ bagi orang kampung di Tanjung Piai dan mereka patut merasa bersyukur, maka ia telah Abang Nordin antara yang melahirkan rasa tidak puas hati dan kecewa dengan kenyataan tersebut.

“Beliau menerangkan kepada saya secara mudah apa yang dilalui oleh dirinya dan kebanyakan orang kampung yang senasib dengannya.”

Dalam hal tersebut, Dr Asyraf berkongsi maklumat sebagaimana dimaklumkan oleh abang Nordin:

Andaikan hasil tunai tuaian setahun berdasarkan harga purata harga Buah Tandan Sawit (BTS) yang diambil oleh peraih yang disebutkan Haji Karmaine iaitu RM270 setan adalah (RM270 x 2.5 tan x 12 bulan) RM8,100

Anggaran kos operasi kebun dikira-kira:

◾Kos Baja setahun = (RM140/beg x 9 beg) x 3 kali baja = RM3,780
◾Kos Pruning (Buang Pelepah) = (RM180/ekar x 2.5 ekar) x 1 kali pruning = RM450
◾Kos Tuai Buah = (RM100/tan x 2.5 tan) x 12 bulan = RM3,000

?Jumlah kos = 3,780 + 450 + 3,000 = RM7,230
?Hasil bersih setahun Pekebun Kecil kini dianggarkan = RM8,100 – RM7,230 = RM870
?Anggaran hasil bersih sebulan = RM870 ÷ 12 = RM72.50 hampir RM73 sebulan.

“Apakah RM73 sebulan ini cukup untuk menampung kos sara hidup? Bagaimana nak bayar api elektrik, bekalan air, minyak motor, bekalan makanan, duit minum kopi lepas solat jumaat di masjid untuk orang kampung?”

Sebab itulah katanya, ramai orang kampung yang ambil keputusan tidak meneruskan kerja sawit apabila harga terlalu rendah kerana kos baja, pruning, meracun dan menuai tidak berbaloi untuk ditampung dengan harga minyak sawit yang rendah kini.

“Keluhan Abang Nordin ini tentu sekali mewakili nasib lebih 650,000 Pekebun Kecil Sawit dan 112,635 Peneroka FELDA yang rata-rata hari inipun merana kerana membawa pulang pendapatan bersih hanya RM300-400 sebulan berbanding sebelum PRU-14 sekitar RM1500-2,000 sebulan,” katanya lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.