Ikutlah Akta Pilihan Raya, Bubar Saja ‘Bersih’ – Ismail Sabri

TANJUNG PIAI, 11 Nov – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan sogokan dalam pilihan raya bukan boleh dibenar oleh sesiapa walaupun kerajaan Pakatan Harapan (PH) memerintah.

Jelas beliau, ianya merupakan satu kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (AKTA 5) sesiapa tidak boleh menyogok, mengugut, memberikan hadiah, memberikan rasuah kepada pengundi-pengundi sewaktu kempen Pilihan Raya.

“Sepatutnya kerajaan hari ini yang mengagungkan kerajaan yang telus, anti rasuah, mempertahankan prinsip kedaulatan undang-undang sewajarnya mengeluarkan larangan kepada menteri-menteri dan penyokong-penyokong dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) P165 Tanjung Piai supaya mengelak daripada melanggar Akta Pilihan Raya termasuk menyogok dan sebagainya.

“Inilah kerajaan yang ada hari ini. Kerajaan yang tak peduli tentang undang-undang, kesalahan yang lakukan dan tetap memberikan kebenaran kepada ahli mahupun pemimpin-pemimpin untuk mengadakan sogokan dan bertentangan dengan undang-undang,” katanya kepada UMNO-Online, di sini.

Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera merasa hairan apabila Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub memberi barangan semasa kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) P165 Tanjung Piai, baru-baru ini.

“Kalau kita lihat Salahuddin Ayub apabila diprotes kerana memberikan barangan dengan egonya mengatakan bahawa dia adalah menteri… itu hak dia memberikan hadiah dan sebagainya.

“Saya pun pernah menjadi menteri, tapi sewaktu pilihan raya kita akan mengelakkan daripada kesalahan-kesalahan pilihan raya dan setiap kali pertemuan dengan jentera pilihan raya cuba elakkan daripada kesalahan yang bertentangan dengan Akta Pilihan Raya.

“Inilah bezanya… mereka (PH) membenarkan dan kita melarang.”

Ismail turut meminta jentera Barisan Nasional (BN) membuat laporan polis segera dan mengambil gambar, video berkaitan apa-apa yang dilakukan PH dari segi kesalahan.

“Walaupun kita tahu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bersama PH mungkin tidak akan mengambil tindakan apa-apa tetapi laporan yang dilakukan akan digunakan sewaktu perbahasan di Parlimen untuk mendedahkan apa yang PH lakukan menyalahi Akta Pilihan Raya.”

Dalam pada itu, mengenai Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) Bersih pada hari ini jelas bahawa Bersih bukannya bersih sebaliknya Bersih selama ini telah menjadi alat kepada pembangkang yang kini menjadi kerajaan, katanya

“Kalau mereka benar-benar bersih, berapa banyak kesalahan-kesalahan yang didedahkan di dalam media dan sebagainya, tetapi bukan saja mereka tak bergolek atas jalan raya selepas pilihan raya kerana mahukan pilihan raya yang bersih tetapi mereka terus mendiamkan diri.

“Kita tak dengar apa-apa laporan dari pihak Bersih selepas beberapa kali PRK dan kerajaan terus melakukan kesalahan-kesalahan.”

Justeru, bersih membuktikan bahawa mereka adalah alat dan kuda tunggangan kepada PH sama ada PH menjadi pembangkang sehingga menjadi kerajaan.

“Bersih… tak layak menggelarkan diri mereka sebagai bersih. Bubar saja bersih tersebut. Bersih boleh dipanggil kotor,” tegasnya lagi. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79