Pihak Berkuasa, SPR Terus Biarkan PH Amalkan Budaya Sogokan, Mencabar Undang-undang Negara


TANJUNG PIAI, 9 Nov – Pakatan Harapan (PH) dilihat berterusan mengamalkan budaya sogokan dan pembelian undi, tegas Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Tambah memburukkan keadaan, PH seolah-olah mencabar kewibawaan undang-undang apabila tetap membuat sogokan walaupun pihak berkuasa dan pasukan pemantau pilihan raya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) wujud.

“Pada jam 9 malam semalam ceramah yang diadakan oleh PH di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Tenggayun di Kampung Seri Bunian yang turut dihadiri Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yasi yang juga Menteri Dalam Negeri dan juga calon mereka, kami telah dimaklumkan terdapat aktiviti yang mencurigakan iaitu pemberian kad sim prabayar Celcom yang merupakan satu bentuk sogokan kepada pengundi.

“Ianya dilihat dan disaksikan oleh pegawai-pegawai pemantau SPR dan saya yakin semalam mereka dapat saksikan drama yang penuh dengan kontroversi dan tentunya bagi saya ia secara terang-terangan mencabar,” katanya di sidang media di Bilik Gerakan Pekan Nenas, di sini.

Dalam sidang medianya, Dr Wee turut menayangkan bukti-bukti yang diperolehi di mana kelihatan anggota polis turut membuat rakaman di tempat kejadian.

“Dalam video yang ditayangkan, boleh dilihat pemberian kad sim dijalankan sebelah bilik gerakan tersebut. Kita juga boleh dengar ada ayat “ambil selepas itu register dan tak perlu bayar”.

“Kami juga diberitahu pada jam 9.05 malam pengacara membuat pengumuman kepada mereka yang hadir supaya hadir ke khemah untuk mengutip kad sim Celcom secara percuma,” katanya lagi.

Dr Wee juga berkata pihaknya mempunyai video-video yang lebih jelas jika pihak PH mahu menafikan tindakan mereka tersebut.

Tambah Wee lagi, ini merupakan satu bukti yang sahih.

“Semua kad sim perlu didaftarkan, dengan menunjukkan Mykad dan dari Mykad itulah PH sebenarnya boleh semakan pengundi atau tidak. Kita pun tidak sebodoh itu.

“Saya tahu apa muslihat mereka untuk mendapatkan nombor kad pengenalan setiap orang. Dan kalau kita lihat pakej yang ditawarkan oleh Celcom, saya nak tunjukkan kepada semua, ini maksudnya E-Wallet.

“Ada juga kemungkinan ini adalah ketirisan bila dah tahu siapa daftar, bagaimana berkemungkinan boleh ditambah nilai RM200, bukankah itu sogokan namanya? Soalnya.

Dr Wee juga memaklumkan bahawa China Press mengatakan kononnya pemberian kad sim itu merupakan satu promosi dari syarikat telekomunikasi.

“Kalau nak tipu nak temberang, tak payahlah sebab sudah ada rakaman dan pengacara sudah umumkan. Apakah ini kebetulan yang terancang.

“Jadi tak payah cari tipu helah, apa yang benar tetap benar dan ini yang telah kita bongkarkan apa yang berlaku,” bidasnya.

Dalam sidang media yang sama, calon BN Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng juga memberi reaksi bahawa kerajaan perlu telus dan menggunakan cara yang betul.

“Pertandingan PRK ini biarlah dalam keadaan yang bersih, tidak guna taktik-taktik yang kotor. Ini juga untuk keadilan semua calon,” katanya.

Seterusnya, Dr Wee, yang juga Ahli Parlimen Ayer Hitam itu menimbulkan persoalan adakah sogokan kad sim itu termasuk dalam kebetulan yang terancang sebagaimana peruntukan yang turun ke Parlimen Tanjung Piai sebaik sahaja ada pilihan raya kecil (PRK).

“Adakah ini satu lagi kebetulan ataupun kebetulan yang terancang oleh kerajaan PH. Sebelum ini pengumuman projek bernilai RM28.55 juta, tidak termasuk lima hari sebelum ini.

“Saya tidak tahu sehingga 15 November berapa akan dicurahkan untuk kawasan ini. Macam-macam helah, alasan tak masuk akal, tetapi yang bodohnya ada yang cakap baru mendapat kelulusan kabinet. Eh, kelulusan kabinet ini dibagi sebelum arwah Datuk Farid meninggal atau selepas?

“Kalau baru maksudnya apa? Janggal sekali kelulusan untuk sesuatu parlimen berjumlah sebegitu boleh curah macam itu. Dan saya lagi hairan, aneh binti ganjil kerana apa? Jawapan “kita menteri kita berhak, itu amanah kita nak bagi duit kita punya pasal.” Tengok begitu angkuh sekali. Jadi saya nak bagitau ini satu perbuatan yang dianggap sangat keji,” tempelaknya lagi.

Perbuatan PH kini kata Dr Wee jauh berbeza ketika mereka di dalam blok pembangkang dahulu yang membantah sekeras-kerasnya perlakuan sogokan ketika kempen pilihan raya, begitu juga dengan Bersih.

“Saya juga merayu kepada Bersih yang selama ini memperjuangkan satu pertandingan pilihan raya yang sihat keluarkan kenyataan. Setakat ini dua kenyataan dalam seminggu dan mereka ada kata tidak puas hati tapi bukan sekadar itu.

“Kalau dahulu mereka itu sangat bersemangat tetapi kali ini berdepan dengan kerajaan PH saya berharap semangat penubuhan Bersih ini dapat dikembalikan, lebih bermaya,” gesanya.

Dr Wee juga menyentuh mengenai statistik SPR berkaitan kesalahan parti-parti yang bertanding.

“Daripada 64 BN, SPR kata 30, PH 18 tetapi yang hairan dan aneh kenapa tidak ada satu kes pun kena mengena dengan pembelian undi seperti pemberian tunai, apakah ini semua telah dihalalkan?

“Adakah ini telah direstui. Itu pertanyaan saya kepada SPR. Satu badan bebas yang kendalikan pilihan raya, integriti dan akauntabiliti sepatutnya dijaga.

“Kalaulah SPR dan Bersih tidak menghukum PH, biarlah rakyat Tanjung Piai menjadi hakim,” tegasnya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.