Selami Kehidupan Peneroka … Jangan Sedap Mulut Bercakap – PEMBELA

KUALA LUMPUR, 8 Nov – Pengerusi Persatuan Warga Felda Malaysia (PEMBELA), Anuar Abd Manap membidas kenyataan calon Pakatan Harapan (PH) di Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai yang mengatakan pekebun kecil dan peneroka Felda harus bersyukur dengan harga komoditi RM270 satu tan.

Jelas beliau, seharusnya calon PH ini berjumpa dan bertanya sendiri mengapa golongan ini bersungut dan mengeluh dengan harga tersebut.

“Saya ada terbaca dalam ucapan calon PH di Tanjung Piai yang mengatakan pekebun kecil dan peneroka Felda seharusnya bersyukur dengan harga RM270 satu tan kerana harga ini sudah cukup baik. Saya nak beritahu… dia sepatutnya tanya betul-betul dengan pekebun kecil dan para peneroka Felda ini kerana harga yang ada pada hari ini bukan harga terbaik.

“Jika kita lihat, harga RM270 ini setelah ditolak kos pengangkutan dan sebagainya, akhirnya jumlah itu tidak sampai RM270 dan jumlah bersih inilah yang memberi tekanan kepada pekebun kecil dan peneroka Felda ini.

“Kalau dulu harga dalam RM550 ke RM600… kalau sudah ditolak kos pengurusan ladang dan jumlah bersih tinggal RM300 atau RM400, ini baru dikatakan cukup, tapi dengan keadaan sekarang, harga yang ada memberi tekanan kepada pekebun kecil dan peneroka. Kos pengurusan ladang tinggi… jadi nak bercakap jangan ikut sedap mulut… kena faham dan tanya sendiri dengan peneroka Felda,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Justeru Anuar berharap, para pengundi di Tanjung Piai menolak calon PH ini yang tidak mempunnyai ‘jiwa dan rasa’ pekebun kecil dan peneroka Felda.

Calon PH Karmaine Sardini dalam ucapannya ketika berkempen di pusat daerah mengundi Penerok baru-baru ini berkata, pekebun kecil dan peneroka Felda harus bersyukur dengan harga komoditi RM270 satu tan dan mereka ini masih boleh makan.

Beliau turut berkata, kehidupan di kampung tidak memerlukan perbelanjaan yang besar kerana kebanyakan sayur ditanam sendiri dan keperluan duit hanya untuk isi minyak. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.