PH Bagi Duit Musim PRK… Bersih, Baju Kuning Tiada Guling-guling?

TANJUNG PIAI, 8 Nov – Setelah setahun setengah kerajaan Pakatan Harapan (PH) memerintah negara, semakin jelas apa sahaja tuduhan yang dilemparkan kepada Barisan Nasional (BN) sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), kini mereka lakukan dengan lebih teruk lagi, bidas Timbalan Ketua UMNO Bahagian Bandar Tun Razak, Adnan Seman.

Adnan, yang juga seorang peguambela dan peguamcara berkata, kerajaan PH bukan sahaja gagal mengurus ekonomi negara dengan baik dan mengamalkan pendakwaan berpilih sepertimana bebas dan lepas Setiausaha Agung Dap, Lim Guan Eng dalam kes rasuah pembelian banglonya, malah ketika pilihan raya juga melakukan perkara yang sama.

“Pelanggaran-pelanggaran (Akta Kesalahan Pilihan Raya) ketika pilihan raya. Kalau di Cameron Highlands ada pelanggaran… dan yang terbaharu Menteri Besar Johor kata tentang RM1,000 untuk nelayan.

“Apa agaknya kalau dulu BN umum RM1,000 kepada nelayan ketika musim pilihan raya, pasti PH berguling-guling di jalan raya. Bersih bukan berlaku di Dataran Merdeka tapi di Tanjung Piai, berguling-guling baju kuning. Ini rasuah….

“Tapi hari ini bila mereka buat, apa mereka cakap? Kebetulan… Tan Sri Muhyiddin kata ‘kami kerajaan, kami boleh bantu bila-bila masa kami hendak bantu…’ tapi kenapa tak bantu nelayan tempat lain?” soalnya dalam ceramah isu semasa di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Peradin.

Begitu juga katanya, PH tidak menjunjung konsep ‘rule of law’ yang dicanang-canangkannya sebelum PRU-14 lalu.

“Tiada ‘rule of law’, lantik sesuka hati lantikan politik. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) lantikan politik.

“Semua badan-badan penguatkuasaan negara lantikan politik. Orang yang merupakan ahli majlis tertinggi PKR dilantik Pesuruhjaya SPRM-Latheefa Koya, itu orang politik. Dr Azmi Shahrom yang ‘membantai’ kerajaan BN dilantik menjadi Timbalan Pengerusi SPR. Semua itu badan bebas,” ujarnya lagi.

Adnan dalam ceramahnya juga berkata tiada makna memberi undi kepada Bersatu walaupun perdana menteri dari parti itu kerana jelas Dap lebih dominan dalam kerajaan PH.

“Bandingkan Dap dengan Bersatu siapa lagi berkuasa? Dap berkuasa Bersatu juga berkuasa tetapi yang nampaknya Dap berada dalam kerajaan dan mereka melakukan apa sahaja.

“Bagi sokongan kepada Bersatu tiada makna. Sebab kerajaan ini tidak dikuasai oleh mereka. Mereka tidak dominan. Macam mana hendak dominan kalau parti mereka parti kecil, parti serpihan.

“Undi calon Bersatu sebenarnya tidak beri kelebihan kepada kita. Apatah lagi mereka ini mempunyai dasar dan polisi yang berbeza,” tambahnya lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.