Bebas Suspek LTTE: Peguam Negara Pandang Rendah PDRM, Isu Keselamatan – Zahid

TANJUNG PIAI, 7 Nov – Ramai rakyat mempersoalkan tindakan Peguam Negara, Tommy Thomas yang membebaskan individu yang dipercayai terlibat dalam kes kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) hanya dalam masa lebih sedikit dari dua minit, ujar Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Bidas Dr Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), tindakan peguam negara seolah-olah merendah-rendahkan kebolehan dan kemampuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menjalankan tugas menjaga keselamatan negara.

Katanya lagi, rakyat tetap menyokong usaha PDRM yang sudah pasti bertungkus-lumus dengan pelbagai usaha menangani isu yang melibatkan ketenteraman awam.

“Mutakhir kita melihat isu-isu keselamatan, temasuklah LTTE. Kita semua mengucapkan tahniah kepada PDRM yang berani untuk menolak keganasan dari berlaku di negara ini.

“Kita tahu PDRM melakukan jejakan, siasatan dan tangkapan setelah mendapat maklumat sekian lama. Mereka berkerja siang dan malam untuk menjejaki 12 orang yang ditangkap di bawah SOSMA (Akta Kesalahan Keselamatan Langkah-Langkah Khas 2012) itu. Kita berikan penghargaan atas istiqamah dan kerja kuat PDRM ini.

“Malang sekali di bawah SOSMA, apabila kes ini dibawa ke mahkamah, peguam negara mengambil keputusan dalam tempoh lebih sedikit dari dua minit untuk membebaskan mereka ini,” katanya ketika berucap di hadapan lebih lima ribu rakyat pada Ceramah Perdana sempena Pillihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, di bilik gerakan BN Kukup di sini, malam tadi.

Hadir sama, Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong; Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan; Pengerusi BN Johor Datuk Ir Hasni Mohamad selaku pengarah PRK dan calon BN, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng.

Dr Ahmad Zahid juga memberi peringatan kepada peguam negara dan kerajaan Pakatan Harapan (PH) agar jangan memandang rendah maruah PDRM kerana jasa PDRM menjaga semua bangsa, rakyat tanpa mengira parti politik demi keselamatan negara.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu juga menyentuh mengenai tindakan PH yang berterusan menekan dan menghina pasukan polis baik ketika menjadi pembangkang hinggalah sekarang sudah menjadi kerajaan.

“Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan saya pernah menjadi Pengerusi Setiausaha Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP). Di bawah SPP ada undang-undang khusus untuk polis, berkaitan disiplin, tatatertib, kenaikan pangkat dan pemecatan lengkap semuanya.

“Pihak pembangkang (ketika itu) mahu supaya IPCMC (Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis) menggantikan SPP. Kerajaan ketika itu (BN) berkompromi untuk mewujudkan sebuah suruhanjaya penguatkuasaan kepada semua agensi penguatkuasa yang dipanggil SIAP – Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan.

“Di Parlimen (sekarang) mereka mahu menghina polis sekali lagi dengan mewujudkan IPCMC seolah-olah menghukum polis… mahu mengadakan satu suruhanjaya untuk menekan pihak polis, maka Ketua Pembangkang Parlimen, Ahli Parlimen UMNO, MCA, MIC, PAS dan GPS (Gabungan Parti Sarawak) dari Sarawak menolak IPCMC kerana kita mahu mempertahankan pihak polis,” jelasnya.

Begitu juga beberapa kes seperti kes pembunuhan anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim yang sehingga kini masih tidak mendapat pembelaan dari kerajaan PH, ujarnya lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.