Pinda SOSMA: Dr Mahathir Digesa Jangan Tunduk Pada Dap


KUALA LUMPUR, 6 Nov – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia merasa kesal dan terkejut dengan pengumuman Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad selepas Mesyuarat Majlis Presiden-Presiden Pakatan Harapan (PH) semalam, bahawa Undang-undang Kesalahan Keselamatan Langkah-Langkah Khas 2012 (SOSMA) akan dipinda secepat mungkin, dan sekiranya berkesempatan pindaan itu akan dibuat pada sesi Dewan Rakyat kali ini

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajjdi Dusuki berkata, tindakan ini dilihat sebagai satu langkah terburu-buru dan bersifat ‘mala fide’ untuk melindungi pemimpin-pemimpin Dap dari kemungkinan ditahan lagi di bawah SOSMA.

“Apatah lagi keputusan ini dibuat ketika kemuncak penahanan pimpinan DAP yang dikaitkan dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

“Kami menggesa Tun Dr. Mahathir tidak tunduk kepada desakan pemimpin DAP supaya SOSMA dipinda, sebaliknya biarkan sahaja mana-mana peruntukan yang dikatakan zalim itu diputuskan keabsahannya oleh hakim yang bijaksana di mahkamah,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tegasnya, ini selaras dengan pandangan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, serta mantan-mantan Ketua Polis Negara seperti Tan Sri Ismail Omar dan Tan Sri Musa Hassan yang menyatakan tanpa SOSMA kita akan menghadapi masalah untuk menangani pengganas.

“Meminda SOSMA secepat mungkin akan memberi mesej salah kepada para pengganas bahawa kerajaan kini mula berlembut dengan mereka, sekaligus bagaikan memberi mereka lesen besar untuk menarik lebih ramai penyokong dan melakukan aktiviti yang lebih ganas.

“Justeru Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia sekali lagi mendesak agar YAB Tun Mahathir tidak tunduk kepada desakan Dap yang boleh mendedahkan rakyat dan negara kepada risiko kemudaratan yang lebih besar,” katanya lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.