Pelantikan Ahli Panel SPR Masih Tatacara Lama, Mana Janji PH Nak Reformasi?

KUALA LUMPUR, 6 Nov – Bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar melahirkan kekecewaan terhadap pelantikan Ahli Panel SPR dan melihat ianya masih mengikut tatacara yang lama walaupun sebelum ini Pakatan Harapan (PH) dalam janjinya mahu melaksanakan reformasi berhubung soal berkenaan.

Menurut beliau jika janji PH dikotakan iaitu pelantikan dibuat menerusi Parlimen ianya adalah sesuatu yang baik namun hakikatnya perkara berkenaan tidak menjadi realiti hari ini.

“Saya bersetuju jika reformasi ini dibuat iaitu pelantikan ahli-ahli panel SPR hendaklah dibuat di peringkat Parlimen tetapi amat dukacita janji PH nak buat reformasi pelantikan ahli-ahli panel SPR … tetapi cerita lama juga yang mengisi kekosongan ahli panel.

“Saya mengharapkan pelantikan yang baru maka lantiklah yang betul-betul mencerminkan suatu panel berwibawa dan sebagainya. Anggap sebagai kebebasan yang tidak dipersoalkan … ini aktivis-aktivis ‘Bersih’, yang berdemonstrasi di jalan raya dan sebagainya lagi …. Saya kecewa dari segi itulah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Hujah terbitan Penerangan UMNO TV bersama Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar yang dihoskan oleh Datuk Dr Noor Azizan Abdul Majid.

Tambah Wan Ahmad beliau mengharapkan mereka yang dilantik adalah daripada kalangan bekas hakim atau bekas akademik yang diyakini kewibawaan dan bukannya aktivis yang menentang itu dan ini.

“Tengoklah sekarang yang ada di situ. ‘Of course’ mereka angkat sumpah nak buat kerja tetapi latar belakang itu kita kena tengok kalau orang itu sudah bertahun-tahun membencikan sesuatu organisasi dan sebagainya. Ingat mudah ke untuk mereka mengeluarkan dari pemikiran… jadi saya tidak hairanlah kalau orang ramai tidak setuju pun….

“Saya harap mereka menjalankan tugas seperti yang diamanahkan dan diharapkan oleh rakyat seperti yang termaktub dalam Perlembagaan,” tambahnya.

Dalam pada itu beliau turut mengharapkan agar tidak berlaku sebarang pindaan sewenang-wenangnya berkaitan persempadanan kawasan pilihan raya kerana Perlembagaan yang telah dirangka sebelum ini adalah yang terbaik.

Menurut beliau Perlembagaan menetapkan lapan tahun untuk persempadanan sesuatu kawasan menerusi Perkara 113 iaitu menetapkan persempadanan boleh dibuat lapan tahun.

“Jadi kalau nak buat persempadanan cepat kena ubah dan saya rasa itu tidak adil. Jangan pinda sebarangan pindaan perlembagaan sewenang-wenangnya dalam urusan pilihan raya ini. Kalau kita buat begitu nampak kita ini menjurus kepada kepentingan politik.

“Tidak boleh dan saya tidak setuju dengan yang itu. Sebab apa … bukannya setiap masa kita jadi kerajaan. Apabila kita jatuh kerajaan lain nanti pinda perlembagaan pula jadi sampai bila kita nak pinda perlembagaan disesuaikan dengan kehendak politik kita.

“Berlainan dengan undang-undang pilihan raya seperti soal kempen, pasang bendera dan sebagainya lagi, itu peraturan sahaja dan ianya tidak ada masalah tetapi jangan sewenang-wenangnya ghairah kerana kepentingan sesuatu sebab maka nak pinda Perlembagaan,” ujarnya lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.