Kami Tertipu Janji PH, Kami Menyesal… Maafkan Kami Khianati BN – Warga Felda


KUALA LUMPUR, 6 Nov – “Ya, kami tertipu dengan janji Pakatan Harapan (PH). Kami menyesal, kami sedar kini Barisan Nasional (BN) yang terbaik… maafkan kami kerana ‘mengkhianati’ BN….”

Inilah antara luahan para peneroka Felda dan pekebun kecil yang kesal kerana termakan dengan janji manis PH semasa kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang lalu.

Mereka mengakui, antara punca utama peneroka berpaling tadah tidak menyokong BN adalah kerana janji PH untuk menghapuskan hutang para peneroka.

Pengerusi Pergerakan Wanita Felda (GPW), Datuk Safariah Awang Ngah mengesahkan bahawa janji PH untuk menghapuskan hutang peneroka inilah yang memenangkan mereka dalam PRU-14 yang lalu.

“Warga Felda khususnya anak generasi kedua yang mengundi PH tertipu dengan janji ini. Mereka mengharapkan hutang ini dihapuskan tetapi bila PH menang, janji tidak ditunaikan malah banyak keistimewaan peneroka ditarik balik seperti pinjaman rumah peneroka dan pinjaman usahawan.

“Kini akibatnya kehidupan peneroka sangat teruk, ia jauh berbeza dengan zaman BN memerintah di mana peneroka disayangi kerajaan. Dengan harga sawit yang semakin merudum dan banyak bantuan ditarik balik, kehidupan peneroka semakin susah,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Seorang lagi peneroka generasi kedua Felda Pasu Dua Negeri Sembilan, Muhammad Yahya Zakaria turut mengakui kehidupan peneroka kini jauh berbeza berbanding pada zaman pentadbiran BN.

“Dulu kita jarang mendengar keluhan peneroka di kawasan Felda. Sekarang untuk melepaskan kos bulanan pun sangat perit ditambah dengan harga sawit yang merudum dan pelbagai masalah di Felda… ini semua menambahkan tekanan kepada peneroka.

“Saya selalu balik ke kampung dan berjumpa kawan-kawan. Ramai yang berasa terkilan dengan tindakan mereka mengundi PH dulu. Ramai generasi kedua semakin sedar bahawa mereka telah ‘dikencing’ oleh janji manifesto PH yang menjanjikan bulan dan bintang ketika itu. Sekarang mereka menyepikan diri dari politik sebab malu… kalau dulu mereka inilah yang mencanangkan pelbagai janji PH tapi bila janji itu tidak ditunaikan maka mereka menyesal apatah lagi melihat ibu bapa mereka dihimpit kesukaran hidup.

“Sebab itu saya boleh nampak trend anak Felda kembali menyokong BN telah wujud dalam generasi kedua sekarang ini,” ujar beliau.

Pekebun kecil, Muhammad Khairul Azhar daripada Baling pula berkata, hari ini majoriti penoreh getah berasa perit dengan kehidupan mereka. Manakan tidak, dalam keadaan musim tengkujuh, bantuan yang diterima sebelum ini tidak ada lagi maka mereka pula terpaksa berhutang.

“Zaman BN kita ada bantuan musim tengkujuh, hari ini zaman PH tidak ada lagi bantuan tersebut. Hari ini harga getah RM2 sekilo, satu harga yang cukup rendah kerana kebanyakan penoreh menggunakan sistem pawah iaitu bahagi dua dengan tuan punya pokok.

“Dengan harga RM1 sekilo bagaimana hendak hidup dengan keadaan ekonomi yang barang terlalu tinggi. Kami di kawasan luar bandar berasa susah untuk teruskan kehidupan.

“Kehidupan di Felda sekarang ini memang berbeza dengan zaman BN. Banyak bantuan di beri zaman BN tetapi kini warga Felda tak dapat lagi. Ada yang mengadu mereka terpaksa berhutang. Sebab itulah peneroka Felda khususnya generasi kedua sudah sedar bahawa mereka termakan dengan janji-janji manis PH yang menjanjikan bulan dan bintang. Saya yakin dan percaya, warga Felda akan kembali dan mengundi BN, UMNO dan PAS pada PRU-15 nanti,” luah beliau.

Seorang lagi generasi kedua Felda, Kamarul Azman Kamaruddin menjelaskan, tuduhan kononnya BN mereka cerita PH tidak menjaga peneroka dan pekebun kecil adalah tidak benar kerana itulah realiti dan hakikat sebenar kehidupan peneroka.

“Kehidupan peneroka sekarang ini memeng susah. Kalau zaman BN kita sebagai peneroka jika tidak dapat pencapai paras pendapatan yang cukup, kerajaan BN akan tambah minimum RM1,500 tapi sekarang… memang susah.

“Saya sendiri jangan cakap RM1,000, nak dapat RM800 pun saya tidak pernah capai sejak PH memerintah. Semua di bawah RM800 dan saya pernah dapat gaji RM0 selama tiga bulan berturut-berturut,” ujarnya meluah perasaan.

Kesimpulannya, warga Felda dan peneroka sememangnya semakin terdesak. Harapan untuk hidup lebih baik di bawah pentadbiran PH rupanya hanyalah satu kisah dongeng yang indah namun hakikatnya ia ibarat awan yang tidak mampu digapai. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.