Buat Hutang, Jual Aset, Jarah Duit Petronas… Mana Duitnya? Bantuan Rakyat Disekat, Dipotong…

TANJUNG PIAI, 6 Nov – Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamad Hasan mempersoalkan ke mana perginya duit hasil dari pinjaman, penjualan aset negara dan penjarahan wang Petronas yang dilakukan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Apa yang menghairankan katanya, walaupun berbilion-bilion diperoleh tetapi rakyat tidak nampak ke mana duit tersebut dibelanjakan khususnya untuk kebajikan kerana masih mempunyai baki yang banyak setelah pembayaran hutang dilakukan.

“Saya nak tanya, pinjam RM125 bilion bayar hutang lama RM85 bilion, ada baki RM40 bilion. Ambil duit Petronas RM82 bilion, jual aset RM35 bilion… mana duit itu pergi?

“Kita tak nampak. Kalau dikatakan semua itu untuk tambah subsidi kepada petani, nelayan, penoreh getah atau naikkan harga getah dan kelapa sawit bolehlah kita merasa, atau bagi macam-macam kemudahan kepada rakyat.

“Kemudahan kepada rakyat ditarik, subsidi-subsidi dikurangkan, (peruntukan) kementerian-kementerian semua kurang, sekolah-sekolah, guru besar dan cikgu mengeluh,” ujarnya pada program santai bersama rakyat di Warung Nelayan di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Penerok, di sini malam tadi.

Hadir sama calon BN bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng dan Ketua UMNO Bahagian Rasah, Datuk Hashim Rasdi.

Timbalan Presiden UMNO itu juga menyatakan kebimbangan mengenai keadaan kewangan negara terutama apabila melihat hutang rasmi yang semakin tinggi berdasarkan fakta yang diperoleh dari Bank Negara.

“Kita perintah negara 62 tahun hutang dalam RM686 bilion, dia (PH) baru satu tahun setengah sudah tambah RM125 bilion. Itu saya cakapkan mengenai bajet baru-baru ini adalah bajet gali lubang tutup lubang… makin besar lubang.

“Kalau dulu hutang rasmi cuma RM686 bilion dia (PH) kata nak bankrap, hari ini hutang dah jadi lebih RM800 bilion hutang rasmi. Apa hendak jadi negara kita?” bidas Mohamad yang juga bekas Ahli Majlis Kewangan Negara.

Mohamad yang lebih dikenali sebagai Tok Mat turut menempelak PH kerana menyebabkan ekonomi negara semakin teruk sejak mereka memerintah negara di mana bursa saham mengalami kejatuhan yang amat teruk sekali, eksport jatuh merudum ditambah pula dasar-dasar yang suka bermusuh dengan negara luar.

Begitu juga katanya, tidak pernah berlaku dalam sejarah kerajaan BN mengambil duit Petronas sebegitu banyak malah BN meninggalkan rizab syarikat petroleum negara itu kepada kerajaan PH sebanyak RM127 bilion. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.