Salahuddin Mesti Disiasat, Kembangkan Perasaan Jahat, Rasis – Pemuda BN/PAS

PONTIAN, 5 Nov – Pemuda Barisan Nasional (BN) dan PAS menggesa pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dengan tegas menyiasat Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub yang mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan serta mengembangkan perasaan jahat.

Menurut Ketua Pemuda BN Tanjung Piai Syahrulzaman Ibrahim, kata-kata yang diucapkan oleh Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Pan) dari Pakatan Harapan (PH) dalam sebuah video yang tular jelas menyalahi Seksyen 4A (1), Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 “Kesalahan Mengembangkan Perasaan Jahat atau Permusuhan.”

“Pemuda amat kesal dengan pendekatan kempen berbaur rasis dan cauvinis oleh Menteri Pertanian dan Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub melalui video yang tular berkenaan perjumpaan tertutup di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Pei Chio Kukup Laut, di bawah Parlimen Tanjung Piai.

“Mohon supaya pihak berkuasa khususnya SPR untuk mengambil tindakan terhadap kenyataan-kenyataan yang berbaur hasutan yang dikeluarkan oleh Menteri Pertanian, Salahuddin Ayub,” ujarnya dalam satu sidang media sebelum memasuki Ibu Pejabat Polis Daerah Pontian untuk membuat laporan polis ke atas Salahuddin.

Hadir sama, Ketua Pemuda UMNO Negeri Johor Mohd Hairi Md Shah, Ketua Pemuda MCA negeri Ling Tian Soon, Ketua Pemuda MIC Tanjung Piai A. Logeswaran dan Ketua Pemuda PAS negeri Ahmad Naufal Mahfoz.

Tular hari ini sebuah video ucapan Salahuddin, antara lain ada menyebut: “Saya tau ada marahkan PH, tapi ingat.. kalau bagi balik BN berkuasa.. dia kawan dengan PAS, ini ‘country’ akan huru-hara!”

Tambah Syahrulzaman, kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai tidak seharusnya dijadikan medan menyemarakkan api perkauman sebagaimana yang sering dilakukan oleh PH dalam siri-siri kempen PRK terdahulu.

“Sebagai contoh kes Menteri Sumber Manusia M Kula Segaran yang berkempen secara rasis di PRK Rantau juga sehingga kini sepi tanpa apa-apa tindakan pihak SPR biarpun berpuluh laporan polis telah dibuat.

“Kita tidak mahu apa yang diucapkan oleh Salahuddin Ayub ini boleh menyebabkan perbalahan antara kaum. Tidak baik untuk kita bila ada pilihan raya dan tidak mahu akan ada tindakan-tindakan agresif atau propaganda, provokasi antara satu sama lain.

“Dan kita berharap pilihan raya kecil ini berjalan dengan baik dan sihat dan kita hendak menunjukkan kepada luar yang kepimpinan yang ada dalam Barisan Nasional dan Pakatan Harapan walaupun beza pendapat politik tetapi kita berkempen secara yang sihat.,” katanya lagi.

Dalam sidang media yang sama, Ketua Pemuda UMNO Negeri Johor Mohd Hairi Md Shah berkata apa yang diucapkan oleh Salahuddin jelas satu perkara yang salah dan mampu menghuru-harakan masyarakat jika pihak berkuasa tidak bertegas.

“Apa yang dikeluarkan oleh Salahuddin itu dianggap salah kerana UMNO sendiri telah meletakkan kerusi di sini bersama dengan MIC, PAS bersetuju MCA bertanding di P165 ini yang menunjukkan solidariti, kerjasama terbentuk bukan hasil dengan apa yang mereka kata yang akan merosakkan perpaduan kaum.

“Kata-kata daripada Salahuddin itu salah dan kita berharap pihak SPR dan berkuasa mengambil satu tindakan yang tegas kerana kata-kata beliau ini boleh mengakibatkan huru-hara kepada negara,” ujarnya.

Manakala Ketua Pemuda MCA Negeri Johor Ling Tian Soon, juga meggesa pihak polis untuk menyiasat kenyataan yang telah dikeluarkan oleh seorang menteri kabinet PH itu yang cuba memfitnah parti BN dan PAS.

“Apa niat menteri ini hendak takutkan atau ugut pengundi Cina. Katanya sokong kepada BN dan PAS akan menjejaskan pendidikan bahasa Cina di negara ini. Kenyataannya jelas tidak adil untuk BN dan PAS.

“Adakah beliau dicemari kawannya dari DAP yang kata kerjasama antara UMNO dan PAS akan menjadikan negara kita negara Taliban. Oleh itu saya sekali lagi menyeru kepada PDRM atau SPR menyiasat kes ini secara dalaman apakah niat mereka tanpa takut walaupun dia seorang menteri kabinet tetapi undang-undang perlu ditegaskan. Negara Malaysia ada ‘rule of law’ sepertimana kata mereka.

“Sebagai menteri kabinet beliau seharusnya fokus kepada isu rakyat bukan isu perkauman. Dia cuba hendak memecah-belahkan hubungan antara kaumkah? Soalnya lagi.

Bagi Ketua Pemuda MIC Tanjung Piai A. Logeswaran pula mempersoalkan mengapa pemimpin PH itu menggunakan sekolah untuk berpolitik.

“Mengapa perkara ini berlaku di sekolah? Perkara politik tidak sepatutnya berlaku di kawasan sekolah dengan menghasut.

“Saya menyeru perkara-perkara sebegitu (ucapan Salahuddin) jangan berlaku lagi kerana kita semua (BN/PAS) sama dalam Muafakat Nasional,” katanya.

Begitu juga dengan Ketua Pemuda PAS Negeri Johor Ahmad Naufal Mahfoz yang menempelak Ahli Parlimen Pulai itu.

“Dengan jelas video tersebut ada menyebut “sekarang ini BN berkawan dengan PAS.” Terus terang kami terguris seolah-olah apa kaitan dengan PAS sehingga boleh menjadi huru-hara.

“Sepatutnya ia adalah tanda muafakat yang cukup kuat antara kami. Walaupun kami PAS, kami boleh berkawan dengan orang Cina, India tanpa masalah. Sepatutnya keharmonian ini yang perlu diangkat dan inilah Muafakat Nasional yang kita tunjukkan kepada masyarakat hari ini,” tegasnya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.