PRK Tg Piai: BN Di Hadapan… PH Gagal Tangani Isu Kebajikan, Kepentingan Rakyat

TANJUNG PIAI, 5 Nov – Berdasarkan kajian dan pemerhatian yang dilakukan, walaupun pada peringkat awal sebaik selepas pengumuman calon, Pakatan Harapan (PH) mendahului Barisan Nasional (BN) dari segi penerimaan rakyat, tetapi kini semakin jelas calon BN Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng memintas calon PH Karmaine Sardini.

Demikian pandangan Presiden KARYA Mohd Shamsuddin Damin dalam segmen PRK P165 Tanjung Piai dengan isu ‘Sebuah Penilaian Bebas’ yang disiarkan secara langsung di Facebook UMNO Online, malam tadi.

Katanya, ini bersandarkan dapatan-dapatan yang diperolehinya setelah berjumpa dengan ramai pengundi di Tanjung Piai yang terdiri daripada masyarakat kampung dan pinggir bandar, sama ada nelayan, petani dan pekebun sawit.

Menurutnya lagi, isu yang paling menjadi perhatian adalah isu hasil pendapatan rakyat yang semakin mengecil tetapi dalam masa yang sama kerajaan PH masih gagal membantu rakyat bagi menanganinya dan ditambah pula kenyataan Karmaine yang seolah-olah menyalahkan rakyat.

“Saya rasa isu nasional yang paling kritikal pada orang Tanjung Piai ini adalah isu harga kelapa sawit yang begitu murah. Hampir 30 peratus pengundi hidup di bawah tahap kemiskinan dengan pendapatan kurang daripada RM500 sebulan.

“Desakan yang kuat rakyat terhadap harga sawit ini, calon PH telah membawa satu isu beliau menyarankan rakyat Tanjung Piai berterima kasih dengan kerajaan dan bersyukur dengan pendapatan yang ada pada hari ini. Ada yang kata sekitar RM1,000 tapi saya jumpa di bawah, pendapatan RM500 selepas ditolak kos-kos memotong, menghantar kelapa sawit ke kilang dan sebagainya petani mungkin hanya dapat dalam 60 peratus sahaja daripada RM270 setan itu.

“Jadi saranan calon PH itu bertentangan atau kerajaan dah putus harap dengan petani sawit ini. Sebab itu para petani sawit khususnya di Tanjung Piai ini akan lebih menyokong BN,” jelasnya lagi.

KARYA adalah sebuah badan bukan kerajaan yang bebas dengan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan dan terlibat dalam kajian-kajian berkaitan sosial, ekonomi, politik dan pentadbiran.

Tambahnya juga, penerimaan rakyat ke atas Wee semakin meningkat apabila melihatkan misi dan visinya untuk rakyat di Tanjung Piai, ditambah pula dengan peribadinya yang matang.

“Wee Jeck Seng telah berkhidmat di Tanjung Piai sejak usia muda menjadi ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), dua penggal sebagai ahli Parlimen dan juga keprihatinan, kematangan beliau, pendidikannya baru mendapat PhD dalam bidang pentadbiran dasar awam membolehkan beliau merancang apa sebenarnya yang hendak dibawa di Tanjung Piai ini.

“Rakyat yang saya jumpa mula bagi kredit kepada Jeck dan calon PH pula selain isu-isu belanjawan yang diperbincangkan, ‘tersedak’ kerana walaupun Tanjung Piai pinggir bandar tetapi masih ramai penanam kelapa sawit, nelayan yang memang dari awal menyuarakan permohonan untuk bantuan,” katanya.

Begitu juga hasil dapatannya mengenai kecenderungan anak-anak muda yang mula menolak PH.

“Anak-anak muda mula bercerita kembali keperluan mereka. Ada yang mengeluh tidak dapat lagi permohonan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) untuk tahun lepas bagi mereka yang melanjutkan pelajaran daripada diploma kel ijazah sarjanamuda.

“Saya juga difahamkan (selain) semakin susah untuk mendapat pinjaman, jumlah juga semakin berkurangan sehinggakan sebahagian daripada mereka berkata perbelanjaan hidup di kampus hampir tidak ada.

“Beberapa universtiti mengadakan ‘food bank’. Bila kita mengadakan ‘food bank’, itu maknanya kita menghadapi masalah rakyat berada dalam keadaan kesusahan, itu adalah realiti. ‘Food bank’ di Amerika Syarikat adalah untuk gelandangan dan ia bukan sesuatu yang boleh dibanggakan malah mendukacitakan,” ujarnya lagi.

Shamsuddin juga mengulas, kekuatan yang ada pada BN dan disokong pula Muafakat Nasional pada hari ini boleh diterjemahkan kepada kemenangan dan menjadi satu isyarat kepada kerajaan bahawasanya rakyat dalam keadaan tertekan dengan keadaan ekonomi negara.

Bagi Ketua Komunikasi KARYA Mohd Syahruzwan Aliman pula berkata, sepatutnya pihak kerajaan lebih bertanggungjawab membantu gologan nelayan, petani dan pekebun sawit yang tergolong dalam B40 di dalam meningkatkan pendapatan, bukan mengguris rakyat.

“Sepatutnya pihak kerajaan mencari penyelesaian, macam mana hendak bantu. Kalau kita tak boleh kawal naikkan harga sawit, kita hendak bantu petani macam mana untuk sementara harga sawit ini rendah. Musim tengkujuh atau ketika ikan berkurangan di laut apa yang perlu kita bantu? Sara hidup ker..bantuan minyak ker.. bagi mengurangkan beban, itu yang mereka nak.

“Mereka tidak mengharap bantuan seratus peratus tapi harap ada ‘penyambung nyawa’ kerana mereka ini ada ‘mulut-mulut yang perlu disuap’,” tegasnya. – UMNO ONLINE