Mahasiswa ‘BASAH’ Habis, Tuntut Janji PH… Kebebasan Bersuara, Pendidikan Percuma

KUALA LUMPUR, 5 Nov – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) hari ini setelah mengambil alih kepimpinan negara daripada Barisan Nasional (BN) dianggap bukan sahaja tidak mengotakan janji mereka kepada mahasiswa malah masih belum menjayakan sepenuhnya kebebasan bersuara.

Golongan muda menganggap, walaupun usaha dan pelaksanaan ke arah kebebasan bersuara telah ada, namun ianya masih tidak berjalan lancar malah seolah-olah masih ada sekatan yang memerlukan tumpuan dan perhatian khusus daripada kerajaan terutama Menteri Pelajaran, Dr Mazlee Malik.

Wakil Mahasiswa, Mubarak Kunyi berpandangan mahasiswa hari ini ‘BASAH’ habis setelah apa yang dijanjikan sepertimana janji mereka berkenaan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) tidak dilaksanakan.

“Tidak dinafikan mahasiswa dapat kebebasan bersuara tetapi itulah… apabila melibatkan janji-janji polisi pendidikan khususnya melibatkan janji-janji PRU yang lalu berhubungkait dengan PTPTN dan pendidikan percuma hakikatnya perkara-perkara yang dijanjikan tiada langsung.

“Dengan isu PTPTN yang dijanjikan daripada sehingga gaji RM4,000 dan kemudiannya u-turn dan pelbagai u-turn lain yang berkaitan dengan pendidikan. Baucer buku RM250 turun kepada RM100, dan sekarang ini RM100 itu pula tidak semua yang dapat dan saya sendiri tidak dapat RM100 yang dicadangkan sebelum ini. Kita ‘BASAH’ habis,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi segmen ‘Sembang Orang Muda: Mahasiswa Semakin Lesu?’ yang disiarkan menerusi UI Studio, di sini, Isnin malam.

Selain itu, ahli panel lain pula ialah  Akmal Haziq, Presiden Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya dan Mirza Adnan, Ahli Parlimen Belia Malaysia. Program tersebut dihoskan oleh Mohd Shafiq Fhadly.

Katanya lagi, kebebasan bersuara itu sesuatu yang baik dan positif untuk mahasiswa dan memberikan ruang untuk bersuara.

“Tetapi baru-baru ini ada mahasiswa daripada Universiti Malaya, kita buat kebersamaan kita bersama VC berkenaan isu yang timbul baru-baru ini. Ada mahasiswa UM yang ditahan, tetapi tidak tahu kenapa.

“Pada mulanya pihak polis memaklumkan kerana kad pengenalan, tetapi kad pengenalanya ada… tetapi permit… bukankah sekarang kerajaan baharu permit tidak lagi diperlukan. Jadi di situ dimanakah kebebasan bersuara mahasiswa dan itu satu persoalan yang besar,” ujarnya.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya, Akmal Haziq pula melihat kebebasan bersuara yang dicanang oleh kerajaan hari ini masih ada keterbatasan dan perlukan pelaksanaan secara menyeluruh.

“Tentang persoalan bagaimana dalam keadaan konteks kerajaan memberikan kebebasan bersuara tetapi masih ada lagi isu-isu mahasiswa disoal oleh polis, walaupun beliau tidak ditangkap tetapi dari segi prinsipnya ianya seolah-olah menakut-nakutkan mahasiswa … itu persepsi yang mana kalau kita belajar dalam psikologi apabila ada seseorang itu ditahan atau pun ditakut-takutkan, maka ianya akan memberikan persepsi negatif kepada mahasiswa lain. Dalam kerancakan untuk kita bangunkan kebebasan bersuara tetapi masih ada lagi aksi-aksi sedemikian.

“Kita lihat walaupun kebebasan bersuara diberikan tetapi saya tidak pasti kenapa masih lagi ada SB dan sebagainya apabila berlaku himpunan dan sebagainya. Mungkin atas alasan keselamatan tetapi saya harapkan ianya sekadar keselamatan dan tidak lebih daripada itu,” ujarnya.

Tegas beliau apa yang diperjuangkan oleh mahasiswa hari ini adalah untuk menuntut janji dan pada masa yang sama menafikan bahawa mahasiswa malas dan sebagainya.

“Kalau kerajaan nak buah fikiran, kritikan kita sedia untuk berikan tetapi hari ini kita tuntut janji. Jangan salah faham dan bukannya kita mahu tuntut semua benda. Jadi kadang-kadang bila saya sebelum ini bercakap soal mahasiswa, netizen kita di luar sana anggap mahasiswa hari ini sangat malas, tidak kreatif, tidak berfikir macam dia orang dahulu… saya cakap kat universiti mahahsiswa kerja ‘part time’. Terpaksa  untuk ‘survive’ dan bantu keluarga di rumah,” katanya.

Pada masa yang sama beliau turut menyeru agar menteri kabinet bersama-sama dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir dalam membangunkan negara.

“Saya rasa Tun Mahathir sangat komited dalam membangunkan negara tetapi mungkin beliau dikelilingi oleh orang yang kurang mahir daripada sudut membangunkan negara.

“Jadi apabila mereka yang dulunya pembangkang jadi kerajaan, ianya seolah-olah satu kejutan budaya dan kalau kita tengok pada peringkat awal mereka seolah-olah mencari rentak tetapi sampai sekarang pun seolah-olah masih mencari rentak. Jadi saya harap hentikan mencari rentak dan mulakan mencari satu peluang untuk membantu negara kita,” tambahnya lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.