PH Pertikai Memorandum, Penghinaan Suara Peneroka Dan Pekebun Kecil – Shahar

KUALA LUMPUR, 4 Nov – Ahli Parlimen Paya Besar, Mohd Shahar Abdullah berkata, kenyataan Menteri Industri Utama Teresa Kok membidas peneroka Felda dan pekebun kecil yang berhimpun di hadapan Parlimen hari ini bagi menyatakan ketidakpuasan hati mereka adalah satu penghinaan kepada golongan ini.

Jelas beliau, menteri seharusnya berlapang dada mendengar rintihan rakyat yang berasa tertindas dengan kepimpinan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Kenyataan Teresa Kok menunjukkan satu penghinaan kepada suara peneroka Felda dan pekebun kecil. Mereka hadir kerana mahu tunjukkan rasa tidak puas hati kepada kerajaan.

“Sepatutnya menteri meraikan suara mereka dengan menghantar sekurang-kurannya timbalan menteri untuk menerima memorandum tersebut. Sudahlah mereka meremehkan suara peneroka Felda, hari ini mereka mengutuk pula seolah-olah suara peneroka yang berkumpul ini dimanipulasi oleh pembangkang,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Tambah Shahar, tindakan Teresa ini adalah satu penghinaan yang amat besar kepada peneroka Felda dan pekebun kecil tanpa memikirkan kebajikan golongan ini.

“Sepatutnya menteri berlapang dada dan menerima sendiri memorandum ini, Tapi tindakan menteri seolah-olah tidak menujukkan sifat seorang pemimpin yang benar-benar mahu mencari penyelesaian sebaliknya hanya mencari gaduh dengan mereka pula.

“Saya rasa ini sifat yang jelas menunjukkan bukan seorang pemimpin yang baik. Sepatutnya menteri ambil iktibar bahawa memorandum ini adalah suara rakyat yang menyatakan ketidakpuasan hati kepada kementerian yang dipimpin oleh Teresa kok,” jelas beliau.

Teresa hari ini memberitahu tidak ada sebab untuk peladang kelapa sawit mengadakan protes kerana harga sawit sudah naik mencecah RM2,500 setan metrik pada bulan lalu dan menyifatkan tindakan mengadakan protes di Parlimen adalah satu tindakan tidak cerdik.

Beliau juga yakin peneroka Felda dan pekebun kecil ini dibawa oleh Ahli Parlimen pembangkang kerana hari ini beliau membuat pergulungan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2020 dan harga minyak sawit di Dewan Rakyat.

Terdahulu, peneroka Felda dan pekebun kecil berhimpun di hadapan pintu masuk Parlimen bagi menyerahkan satu memorandum kepada Kementerian Industri Utama.

Mereka yang diwakili oleh Jawatankuasa Pembela Kebajikan Peneroka Dan Pekebun Kecil Pemuda Umno Malaysia (Pembela), Pertubuhan Kebajikan Warga Felda Malaysia (PKWFM), Pertubuhan Generasi Warisan Kebangsaan (Generasi) dan NGO-NGO yang berkaitan mendesak Kementerian yang berkenaan untuk;

1. Membentangkan dan memaklumkan kepada umum berkaitan pelan strategik pengukuhan harga sawit, pasaran dan eksport harga sawit.

2. Menyatakan langkah-langkah segera dan pengurusan krisis jika sekiranya negara India mengambil langkah mengurangkan atau memberhentikan import sawit dari Malaysia.

3. Menyediakan peruntukan khusus bagi membantu meringankan beban Pekebun Kecil dan Peneroka Felda sekiranya harga minyak sawit terus jatuh sehingga aras terendah.

4. Memastikan agar inisiatif tanam semula sawit diberikan semula kepada para pekebun kecil menerusi RISDA dan MPOB

5. Mendesak untuk kerajaan memulihkan hubungan diplomasi antara Malaysia dengan Negara-Negara pengimport sawit. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.