PRK Tg Piai: Pertembungan Enam Penjuru

 

TANJUNG PIAI, 2 Nov – Pilihan Raya Kecil (PRK) P165 Tanjung Piai secara rasminya bermula hari ini dengan menyaksikan pertembungan enam penjuru antara Barisan Nasional (BN) dengan calonnya, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng, Pakatan Harapan (PH) Karmaine Sardini, Gerakan Wendy Subramaniam, Berjasa Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz dan dua dari Bebas, Dr Ang Chuan Lok serta Faridah Aryani Abdul Ghaffar.

Keenam-enam calon ini layak untuk bertanding selepas nama mereka diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) PRK Tanjung Piai, Zulikifly Mohd Tahir di pusat penamaan calon Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Pontian.

Calon BN, Dr Wee merupakan Ketua MCA Bahagian Tanjung Piai yang berpengalaman sebagai Ahli Parlimen di kawasan yang sama sebelum ini pada tahun 2008 hingga 2018 dan sebelumnya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pekan Nenas.

Dr Wee juga merupakan graduan Ijazah Doktor Falsafah Pengurusan Awam dari Universiti Utara Malaysia dan pernah menjawat beberapa jawatan dalam kabinet BN.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK Parlimen Tanjung Piai pada 16 November, Sabtu manakala undi awal ditetapkan pada 12 November, Selasa.

PRK Parlimen Tanjung Piai diadakan berikutan penyandangnya Datuk Dr. Md Farid Md Rafik, 42, dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri meninggal dunia di Hospital Pontian akibat serangan jantung pada Sept lalu.

Seramai 52,986 orang pengundi akan terlibat proses demokrasi tersebut, yang terdiri daripada 52,698 pengundi biasa, 280 pengundi awal dan 8 orang pengundi tidak hadir (luar negara) berdasarkan Daftar Pemilih Suku Tahun Kedua 2019 yang dikemaskini sehingga 23 September.

PRK Tanjung Piai adalah PRK kelapan diadakan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dengan yang pertama diadakan di DUN Sungai Kandis pada 4 Ogos 2018; DUN Balakong dan DUN Seri Setia (8 September 2018); Parlimen Port Dickson (13 Oktober 2018); DUN Semenyih (2 Mac 2019); DUN Rantau (14 April 2019); dan Parlimen Sandakan (11 Mei 2019). – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.