Menjelang PRU-15, Pendekatan Dap Akan Berbeza Dekati Masyarakat Melayu

KUALA LUMPUR, 1 Nov – Pendekatan serta strategi Dap untuk terus mempengaruhi masyarakat Melayu khususnya dikalangan orang-orang muda bagi menyokong mereka tentunya akan berubah menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang dan ianya tidak sepertimana pada pilihan raya umum sebelum ini.

Bekas Pegawai Khas Lim Guan Eng, Amran Ahmad percaya pelbagai pendekatan akan digunakan dan ditambah pula dengan penguasaan mereka yang hari ini telah membentuk kerajaan bersama dengan rakan-rakan parti lain menerusi Pakatan Harapan (PH).

“Sudah pasti strategi dan juga pendekatan Dap untuk orang Melayu pada PRU-14 dan PRU-15 adalah dua situasi yang berlainan dan pastinya mereka akan menggunakan kekuatan dana dan kekuatan jaringan organisasi dalam kerajaan serta sebagainya untuk memperkuatkan pengaruh mereka di kalangan orang Melayu .

“Jadi kita dah tengok hari ini sekolah demokrasi telah diimplemenkan di peringkat negeri yang mana saya dengar-dengar beberapa negeri seperti di Perak dan juga di Johor telah menggunakan dana-dana untuk menggerakkan sekolah demokrasi versi baru untuk menarik minat orang Melayu dan anak-anak muda untuk menyertai Dap ataupun setidak-tidaknya menyokong Dap untuk PRU-15 nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi program UI Studio yang dihoskan oleh Khairul Afsan Abu Bakar.

Amran seterusnya menambah mereka yang pernah berada di dalam Dap akan tahu sikap serta tindak-tanduk sebenar parti berkenaan.

“Mereka akan menggunakan dakyah-dakyah bahawa mereka ini parti yang berbilang bangsa dengan memetik sejarah-sejarah penglibatan orang Melayu dalam Dap dan sebagainya… itu kononnya akan menunjukkan seolah-olah Dap ini mengetengahkan calon-calon Melayu dan mereka yang berbakat.

“Sedangkan sebenarnya… hakikatnya kalau mereka yang pernah menyertai akan tahu benda ini bahawa Melayu yang ada di dalam Dap itu terutama orang-orang muda ini hanyalah ‘topeng’ semata-mata. Jika diberikan kerusi, kerusi yang paling lemah sekali untuk menang dan sebagainya lagi,” jelasnya.

Tambahnya lagi pelbagai janji dan pelbagai tawaran sepertimana janji berkaitan hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi (PTPTN) merupakan salah satu perkara yang digunakan untuk menarik orang muda.

“Mereka akan cuba menarik sokongan orang Melayu untuk bersama dengan mereka sedangkan seperti yang kita tengok dalam belanjawan 2020… e-Games sebagai contoh… untuk berseronok sedangkan apa yang kita nak berseronok kalau hutang PTPTN kita kena bayar, apa yang kita nak seronok sedangkan kita tidak ada peluang pekerjaan untuk kita membina kehidupan kita.

“Jadi ini adalah gula-gula yang digunakan oleh Dap untuk meracuni fikiran anak-anak muda yang mungkin akan terpengaruh dan akan menyokong mereka pada PRU-15  supaya kekal berkuasa,” ujarnya lagi – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.