Menteri Wilayah Buat Provokasi Untuk Elak Jawab Isu Penting Penjualan Tanah Kampung Baru

KUALA LUMPUR, 31 Okt – Ketua Pembangkang Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini melahirkan kekecewaan dengan sikap Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad yang sering membuat provokasi dan menimbulkan kemarahan Ahli Parlimen di blok pembangkang.

Jelas beliau, berkemungkinan ini adalah cara Khalid bagi mengelak menjawab persoalan penting termasuklah isu penjualan tanah di Kampung Baru.

“Kita sudah jangka dari awal… begitulah cara Menteri Wilayah, dari zaman menjadi pembangkang sehingga sudah jadi kerajaan… sikap tidak pernah berubah. Bila jadi begini, banyak soalan penting tidak dapat dijawab dan isu paling penting adalah isu Kampung Baru tetapi akibat provokasi dari menteri akhirnya isu yang perlu diketahui lebih jelas tidak diperjelaskan.

“Menteri Wilayah ini setiap kali cakap buat provokasi. Mungkin ini juga strategi untuk dia tidak menjawab isu penting. Kalau jawab pasal isu Kampung Baru, banyak perkara yang akan kita tanya, tapi tidak mengapa, kita akan tanya nanti,” ujar beliau kepada media di lobi Parlimen hari ini.

Dewan Rakyat hari ini gamat ketika Khalid menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2020.

Khalid sebelum ini mengumumkan kerajaan menawarkan harga RM850 sekaki persegi untuk pengambilalihan tanah di Kampung Baru sebelum ia dibangunkan.

Pada 25 Okt lalu Kementerian Wilayah Persekutuan membuat tawaran baru iaitu RM1,000 sekaki persegi, dengan RM150 daripadanya ditawarkan dalam bentuk pegangan saham syarikat tujuan khas (PSV).

Ketika Khalid hendak memulakan pergulungan, Ahli Parlimen Arau Shahidan Kassim meminta perbahasan itu diganti oleh Timbalan Menteri, Dr Shahruddin Md Salleh.

“Dia tak layak, dia menteri broker. Kalau dia jawab, kami panas. Dia jual Kampung Baru,” celah Shahidan.

Tidak berpuas hati dengan kenyataan tersebut, Khalid terus-terusan melakukan provokasi sehingga Dewan menjadi gamat dengan pertengkaran blok pembangkang dan kerajaan. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.