Tertipu Janji PH, Orang Kampung Menyesal Terlalu Awal Curah Air Tempayan…

KUALA LUMPUR, 30 Okt – Berdentum guruh dilangit, air ditempayan jangan dibuang… berdentum guruh belum bererti hari akan hujan… kalau dibuang juga, takut nanti akan menyesal.

Inilah perumpamaan yang diberikan oleh Aktivis Politik, Noran Zamini atau lebih dikenali sebagai Mak Long terhadap apa yang dilalui penduduk luar bandar hari ini.

Jelas beliau, penduduk luar bandar dahulunya dijanjikan dengan pelbagai janji manis oleh Pakatan Harapan (PH) yang membuatkan mereka terpedaya namun selepas 9 Mei 2018, baru mereka menyedari bahawa janji manis tersebut adalah racun berbisa.

“Rakyat khususnya orang kampung disogok dengan manifesto yang amat manis… sebab itu saya tidak salahkan sepenuhnya anak muda yang terpedaya dengan janji PH. Anak muda mana yang tidak mahu bila dijanjikan PTPTN akan dihapuskan, gaji naik sehingga RM1,500, AES akan dihapuskan dan harga getah akan jadi tinggi sekiranya PH memerintah… apatah lagi mereka didendangkan dengan ketelusan.

“Orang kampung ini sebenarnya mereka memang tidak percaya dengan Dap tetapi apabila Tun Mahathir mengetuai PH maka mereka percaya. Dulu orang kampung juga perlekehkan bila Datuk Seri Najib kata bila Melayu hilang kuasa, orang Melayu akan terbangsat di bumi sendiri, tetapi hari ini orang kampung baru nampak kebenarannya.

“Selepas 9 Mei 2018, Allah tunjukkan jawapan. Tol yang diharapkan untuk dihapuskan Allah tunjukkan boleh atau tidak sebenarnya dihapuskan, PTPTN yang anak muda mahu sangat untuk dihapuskan, Allah menjawab sebenarnya tidak boleh… maka kini ramai yang menyesal,” ujar beliau ketika menjadi tetamu jemputan dalam progam ‘Hujah’ yang membincangkan isu ‘Belanjawan 2020: Apa Orang Kampung Dapat?’, anjuran Penerangan UMNO-TV, malam tadi.

Tambah beliau, begitu juga Belanjawan 2020 yang dibentangkan baru-baru ini telah mengungkapkan jumlah berbilion ringgit.

“Orang kampung tidak pandang amaun tersebut… bentangkanlah berapa billion sekalipun kerana apa yang orang kampung mahu lihat adalah, adakah peruntukan tersebut sampai kepada mereka.

“Kebanyakan luar bandar, mereka tidak peduli tentang jumlah sebenar Belanjawan 2020 kerana mereka tidak mendapt apapun. Dulu ada BR1M tapi sudah kena tarik.

“Sudah ada kekecewaaan yang mendalam dengan janji pH yang terdahulu. Orang kampung tidak mahu dengar bajet berbilion, umumlah jumlah angka apapun yang orang kampung mahu tahu adalah apa yang mereka dapat dan sampai atau tidak kepada mereka,” jelas beliau.

Mengupas lebih lanjut jelas Mak Long, orang kampung juga sebenarnya sudah mula risau dengan pembentanan Belanjawan 2020 apabila ia menyebut untuk mengapungkan harga minyak sedangkan apa yang dijanjikan dahulu adalah harga minyak turun sehingga RM1.50.

“Selain itu di Kedah contohnya, terjadi sesuatu perkara yang tidak pernah berlaku dulu iaitu kelewatan benih padi. Kalau benih padi tidak sampai pada waktunya ia akan mengganggu proses penanaman padi.

“PH bentangkan bajet yang sedang didengar tetapi di kampung menghadapi perkara berbeza. Sebelum ini tidak pernah jadi masalah seperti ini. Ini masalah besar kepada petani maka sebab itu orang kampung mula menyedari apa yang Datuk Seri Najib katakan dulu adalah benar belaka,” katanya lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.