Belanjawan 2020 Tidak Menyeluruh, Disifatkan ‘Useless Budget’


KUALA LUMPUR, 25 Okt – Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Jalaluddin Alias berpandangan Belanjawan 2020 yang dibentangkan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada 11 Oktober lalu merupakan ‘useless budget’ kerana ianya tidak menjangkau secara menyeluruh walaupun ada peningkatan dalam aspek tertentu.

Menurut beliau walaupun pada dasarnya tidak wajar perkataan ‘useless’ digunakan, namun setelah difikirkan dan diperhalusi tidak ada perkataan lain yang boleh diambil atau yang boleh disebutkan mengenai bajet tersebut.

“Saya dapati pembentangan yang dilakukan oleh kerajaan pada ketika itu (hari pembentangan bajet) menjadikan pembentangan yang memainkan angka dan memainkan ayat-ayat tertentu untuk beli jiwa netizen terutama golongan muda, masyarakat kampung, petani dan sebagainya… kononnya inilah bajet yang ditunggu-tunggu oleh mereka. Inilah bajet yang dibawa oleh kerajaan PH untuk membela rakyat dan peningkatan drastik. ‘First impression’. Ini adalah pandangan saya pertama sewaktu itu.

“Namun selepas pembentangan bajet apabila diteliti satu persatu dalam buku Belanjawan 2020 ,saya fikir ini adalah satu ‘useless budget’… kerana itu saya sebutkan di dalam Parlimen, saya gunakan perkataan ‘useless budget’ … tidak wajar untuk saya gunakan perkataan itu tetapi tidak ada perkataan lain yang boleh disebut dalam bajet yang dibentangkan. Belanjawan 2020 ini saya fikir tidak langsung memberikan satu yang memenuhi harapan dan juga permintaan rakyat yang sekian lama ternanti-nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi program ‘Dari Parlimen’ anjuran Penerangan UMNO TV yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook UMNO-Online dengan tajuk ‘Belanjawan 2020 Useless’.

Kata beliau lagi, 62 tahun kerajaan Barisan Nasional (BN) mengemukakan belanjawan tanpa mengenepikan hak, tanpa mengenepikan peluang-peluang dan juga melakukan pembelaan kepada semua kaum berbanding dengan Belanjawan 2020.

Pada masa yang sama beliau turut melihat kerajaan yang tidak stabil akan menggangu-gugat perjalanan dan juga kelancaran pelaksanaan bajet yang dibentangkan.

“Apabila kita nak buat perancangan negara dan sebagainya kita mesti mempunyai kerajaan yang stabil dan dipimpin oleh pemimpin ‘cabinet members’ yang fikir soal rakyat… yang fikir untuk memperjuangkan soal rakyat di semua kawasan dan bukannya kawasan bandar sahaja.

“Kalau kita kerajaan tidak stabil, memikirkan soal selamat atau tidak kerusi saya sebagai PM, selamat atau tidak kerusi saya sebagai menteri, selamat atau tidak kerusi saya maka kerajaan yang mengurus tadbir sekarang bila pula nak fikir soal negara.

“Kalau kita fikir soal itu sahaja kemudian parti yang menjadi pemerintah sekarang asyik bergolak dalam soal hal ehwal dalaman politik, bila kita nak fikir soal negara… mana ada satu rumahtangga yang aman damai, yang bahagia kalau suaminya berfikir lain, isterinya berfikir soal yang lain,” ujar beliau.

Kata beliau lagi, menjadi satu persoalan ada atau tidak kenyataan–kenyataan yang berkaitan dengan masa depan negara lahir daripada mulut pemimpin-pemimpin yang memegang teraju sekarang ini dan jika itu tidak ada mana mungkin boleh dikemukakan satu bajet untuk memenuhi suara rakyat. – UMNO ONLINE