Lompat Parti Selamatkan Diri? Jaga Parti Bukan Ikut Individu – Annuar


KUALA LUMPUR, 24 Okt – “Jangan tinggal parti. Kita jaga parti bukan ikut individu. Kita kena jaga parti,” demikian tegas Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa.

Kata Annuar, pengalaman baharu sebagai pembangkang di peringkat pusat pasti akan mendapat tekanan dengan pelbagai cara, waima dihina dan diugut, yang harus dihadapi oleh ahli parti terutama pemimpin-pemimpin.

“Sebagai orang yang berjuang, sudah pasti akan ada tekanan sama ada dari parti sendiri mahupun dari parti lawan apatah lagi bila dah jatuh, tekanan pihak berkuasa seperti Lembaga Hasil Dalam Negeri, dan ada aura-ura Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hendak buka kembali fail lama yang sudahpun ditutup.

“Saya berpegang pada satu prinsip. Kalaulah tekanan itu hendak menjadikan saya serabut, takut maka saya pun buatlah tindakan akan menyelamatkan diri misalnya lompat parti ataupun pergi melulut minta maaf dengan sesiapa. Saya tidak buat begitu.

“Saya tidak boleh nak tinggalkan parti, saya reda. Jadi bila timbul fitnah-fitnah, yang mampu saya buat secara terbuka menerangkan apa yang sebenar,” katanya ketika menjadi tetamu dalam segmen Hujah bertajuk ‘Dari Bola Menjadi Bola’ terbitan Penerangan UMNO yang disiarkan di Facebook UMNO Online, Rabu malam.

Ulas lanjut tambah Ahli Parlimen Ketereh itu, sebagai pemimpin parti politik, terdapat dua perkara yang menjadi asas.

“Ada dua perkara dalam hidup kita. Pertama, kita hendak cari untuk diri kita. Kalau kita cari benda untuk diri kita, ibarat itik mencari di mana air, ibarat semut carilah di mana gula sebab yang hendak kita buat untuk diri kita.

“Tapi kalau kita hendak buat untuk masyarakat, parti itu adalah bukan milik peribadi kita. UMNO itu ahlinya tiga juta lebih, cawangannya dua puluh dua ribu. UMNO mungkin ada naik ada turunnya tetapi UMNO tetap UMNO ia tidak boleh dimatikan begitu saja.

“Kalau nak menyelamatkan diri kita, kita loncatlah. Belah mana menang, masuk,” ujarnya.

Dalam membicarakan topik bola sepak yang menjadi sebati dengannya, Annuar yang pernah menerajui Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) pada 2007 melihat sukan bola sepak bukan sahaja tertumpu kepada sukan itu sendiri tetapi merangkumi pengurusan korporat yang akhirnya mampu meningkatkan nilai sesuatu pasukan.

Disebabkan itulah Annuar merasakan perlu menjenamakan semula pasukan bola sepak Kelantan daripada awalnya dikenali sebagai pasukan Kijang, Cik Siti Wan Kembang menjadi sebuah pasukan yang mempunyai tarikan komersial sebagai The Red Warriors.

“Langkah pertama, saya tukar logo yang lebih menarik ‘ada harganya’ jika diletak pada ‘merchandise’. Kemudian saya beri nama kepada pasukan supaya kita boleh buat ‘branding exercise’ jolokan namanya adalah The Red Warriors dengan logonya dan daripada situ kita bina imej pasukan.

“Imej pasukan datang daripada jersi yang dipakai, nama yang dibawa dan juga bintang-bintang pemain. Jadi saya mengumpul semula dan memilih beberapa pemain yang boleh menjadi ikon kepada pasukan.

“Jadi dalam padang saya tak reti nak main taktik apa, itu kita bagi kepada mereka yang dalam bidang. Kita hanya memimpin persatuan,” katanya yang berjaya mewujudkan satu transformasi dalam pengurusan bola sepak yang tidak lagi bergantung kepada dana kebajikan, derma dan bantuan kerajaan tetapi berubah kepada nilai komersial.

Dalam bual bicara tersebut, Annuar juga secara terperinci menjelaskan beberapa isu sepanjang beliau menjadi Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) hinggalah berkaitan penajaan Pelaburan Mara Berhad (PMB) dan UniKL kepada pasukan The Red Warriors itu. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.