Penyebaran Komik Propaganda ‘Kebetulan Yang Dirancang’ – Dr Ahmad Zahid


KUALA LUMPUR, 23 Okt – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, penyebaran buku komik propaganda yang mempromosikan idealogi komunis bukanlah sesuatu kebetulan sebaliknya ia adalah ‘kebetulan yang dirancang’.

Jelas beliau, perkara ini pastinya telah dirancang dengan teliti oleh seseorang.

“Walaupun Menteri Pendidikan berlainan parti dan secara politiknya saya tidak patut menyokong kenyataan beliau tetapi berlandaskan kepada kebenaran, saya fikir apa yang dilontarkannya itu patut diikuti sebab buku itu telah menjadi satu bahan untuk ditertawakan.

“Isi kandungan buku komik ini mempunyai maksud yang tersurat dan tersirat dan Menteri Pendidikan benar dalam pendirian rasminya (memberhentikan penyebaran komik di sekolah),” ujar beliau kepada media di lobi Parlimen hari ini.

Ketika ditanya berkaitan kenyataan Maszlee yang mahu Dap mendisiplinkan ahlinya Ahmad Zahid berkata, dirinya tidak mahu mencampuri urusan parti lain namun sebagai kerajaan, mereka sepatutnya senada.

“Saya tidak mahu campur urusan parti lain tetapi sepatutnya begitulah… mana-mana parti yang jadi kerajaan harus bersama pendirian dan harus mengetahui apa yang boleh dan tidak boleh,” jelas beliau.

Maszlee dalam kenyataan rasminya hari ini menegaskan bahawa komik propaganda politik tersebut tidak pernah mendapat kelulusan dari Kementerian Pendidikan Malaysia dan KPM tidak akan membenarkan pengedarannya ke sekolah-sekolah di bawah KPM.

Selain itu beliau juga menggesa pimpinan Dap untuk mendisiplinkan ahli-ahli mereka agar menghormati keputusan kerajaan dan patuh terhadap perlembagaan dan undang-undang negara.

Blok pembangkang hari ini juga melahirkan kekecewaan terhadap tindakan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof yang menolak usul bagi membahas pengedaran buku komik propaganda ‘Inisiatif Jalur dan Jalan Merah Manafaat Bersama’ di sekolah-sekolah.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tindakan Speaker itu adalah sesuatu yang tidak wajar. – UMNO ONLINE