Kempen ‘Tabur Dedak’ Awal ‘Beli Jiwa’ Demi Undi Di PRK Tanjung Piai – Anuar


SEKIJANG, 23 Okt – Kempen ‘tabur dedak’ awal ‘beli jiwa’ demi undi telah bermula di Tanjung Piai… itu kesimpulan yang dibuat oleh Naib Ketua UMNO Sekijang, Anuar Abd Manap.

Beliau berkata demikian melihat kepada ‘trend’ pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang telah mula memberikan pelbagai peruntukan di Tanjung Piai.

“Kalau kita lihat, sejak Pakatan Harapan (PH) memerintah, apabila ada pilihan raya, pasti akan ada pelbagai janji dan peruntukan yang diberikan di kawasan terbabit. Kali ini di Tanjung Piai tidak ketinggalan. Pelbagai alasan diberi bagi menutup cara mereka kononnya untuk penuhi hasrat arwah, sudah berjanji dari dulu dan alasan paling klise adalah nak bantu rakyat.

“Lepas ni akan mula pula sandiwara ke rumah pengundi dengan alasan nak bagi sedekah. Masalahnya, janji di pilihan raya kecil yang dulu sudah ke ditunaikan? Mana janji nak bina hospital di Semenyih? Ke hospital itu sudah ditukar tempat pembinaannya di Tanjung Piai pula?” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Justeru Anuar berharap agar para pengundi di PRK Tanjung Piai berfikir secara waras dan menilai dengan baik apa yang berlaku sepanjang setahun tujuh bulan PH memerintah.

“Janji manifesto tidak ditunaikan, keadaan ekonomi semakin mencengkam rakyat, Bajet 2020 tidak menunjukkan kerajaan prihatin terhadap nasib masyarakat luar bandar, subsidi ditarik satu persatu dan macam-macam lagi yang jelas membuktikan kerajaan pimpinan PH gagal membela nasib rakyat.

“Lain yang mereka janji lain pula yang mereka buat maka saya rasa inilah medan terbaik untuk rakyat menghukum kegagalan PH. Jangan mereka hendak memperbodohkan rakyat lagi,” ujar beliau.

Selain itu Anuar turut mengingatkan agar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bertindak lebih berintegriti sebagai satu badan bebas.

Ini memandangkan, katanya, SPR kini dilihat telah ‘dikawal’ oleh kerajaan apabila gagal mengambil tindakan terhadap kesalahan Akta Pilihan Raya.

“Kalau kita imbas kembali PRK Cameron Highlands, antara kesalahan yang dilakukan adalah calon PH memakai baju berlogo parti memasuki perkarangan pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan Sinderut tapi sehingga kini tiada tindakan walaupun telah ada laporan polis.

“Begitu juga kes PH beri duit pada pengundi di PRK tersebut… tetap tiada tindakan. Di PRK Semenyih begitu juga. Kesalahan yang dilaporkan tetap tiada tindakan. Jadi, SPR perlu lebih telus dan buktikan mereka bukan dikawal oleh kerajaan,” bidas beliau lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.