Bajet 2020 Tidak Ada Suntikan Keyakinan Dan Semangat Untuk Sabah Sarawak


KUALA LUMPUR, 23 Okt – Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan melihat tidak ada satu pengumuman yang boleh memberikan semangat atau yang boleh memberikan keyakinan bahawa masa depan Negeri Sabah dan Sarawak lebih cerah di bawah Pakatan Harapan (PH) menerusi Bajet 2020 yang dibentangkan.

Malah kata beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Tuaran, pembayaran royalti serta keputusan untuk mengembalian kutipan cukai 40 peratus yang dikutip daripada negeri berkenaan juga tidak disebutkan.

“Memang tidak ada… pembayaran royalti bukan sahaja tidak ada malah tentang keputusan untuk mengembalikan kutipan 40 peratus cukai yang dikutip oleh kerajaan Persekutuan di Sabah dan Sarawak kepada negeri berkenaan juga tidak disebut langsung.

“Sedangkan ini adalah janji utama PH bahawa dua perlima… bukan janji… ini adalah termaktub di dalam MA63 bahawa dua perlima daripada kutipan cukai yang dikutip oleh kerajaan Persekutuan di Sabah perlu dikembalikan. Bermakna 40 peratus. Buat yang itu dahulu… itu pun tidak dibuat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program ‘Dari Parlimen’ yang diterbitkan Penerangan UMNO TV, disiarkan secara ‘live’ menerusi facebook UMNO-Online mengupas topik ‘Bajet 2020 Tidak Menguntungkan Sabah dan Sarawak’, malam tadi.

Abdul Rahman seterusnya menambah atas dasar berkenaan, UMNO negeri telah merangka draf perjanjian dengan UMNO Malaysia sekiranya mendapat mandat nanti, akan ada tawaran baru untuk rakyat Sabah.

“Sekiranya kita dapat kembali tampuk pemerintahan kerajaan negeri Sabah, kita tidak mahu lagi hubungan Persekutuan seperti dahulu. Kita mahukan tawaran baru… malah Datuk Seri Zahid sendiri turun ke Sabah baru-baru ini menyatakan UMNO Sabah ada tawaran baru kepada rakyat Sabah.

“Antara lainnya ialah kita nak ‘re-organized’ balik antara Sabah dan Persekutuan. Salah satunya ialah kita tidak mahu lagi projek… kita mahu duit tunai. Kerajaan Sabah mempunyai sistem kabinet berbeza dengan Semenanjung. Kita ada kementerian-kementerian… kita ada kementerian pembangunan dan sebagainya.

“Dan ini adalah tuntutan Perlembagaan Negeri Sabah. Jadi kita sudah ada struktur dan struktur ini pula bergerak tidak terlalu efisyen kerana apa yang dibuat itu telah dibuat juga oleh Persekutuan. Jadi pada kita bagi sahaja duit, bagi sahaja pembangunan dalam bentuk ‘cash’, kemudian biarlah kerajaan Negeri Sabah menentukan di mana jalan raya nak dibuat, jambatan mana yang nak dibuat kerana kami lebih mengetahui kehendak serta lokasi yang memerlukan.

“Keduanya kita minta supaya ‘decision making’ proses dibuat di Negeri Sabah sebab kita ada kabinet. Pantaulah kami dan Persekutuan boleh audit dan sebagainya.”

Tegas beliau, sudah tiba masanya ada satu persefahaman baru atau perjanjian baru antara Negeri Sabah dalam konteks struktur Persekutuan yang sedia ada.

“Saya belum minta atau cerita lagi 20 peratus royalti minyak dan sebagainya. Ini cuma nak memperbetulkan apa yang ada sekarang. Pada sAya ini satu tawaran baru yang akan ditawarkan kepada rakyat Sabah di bawah UMNO dan BN dalam pilihan raya umum akan datang,” tambahnya.- UMNO-Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.