PH Retorik, Rosakkan Negara Begitu Teruk Sekali – Tajuddin


KUALA LUMPUR, 22 Okt – Ahli Parlimen Pasir Salak Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH) telah merosakkan negara ini begitu teruk sekali walaupun belum dua tahun memerintah.

Jelas beliau, ini terbukti apabila ada pakar ekonomi yang mengatakan 10 atau 15 tahun belum tentu cukup untuk membaiki segala kerosakan yang dilakukan oleh PH ini.

“Sejak PH memerintah, ekonomi, struktur ekonomi, agensi-agensi yang telah dibina selama ini semuanya rosak… penjualan aset seperti Khazanah, hampir RM30 bilion dijual.

“Sebab itu dalam Parlimen saya tanya siapa yang buat keputusan… penggunaan kuasa, kuasa apa yang ada yang digunapakai untuk jual aset rakyat. Siapa yang bida, siapa yang berjaya? Semua ini tidak dijawab.

“Disebabkan keadaan ekonomi kita ini, ada pakar ekonomi yang mengatakan akan mengambil tempoh 10 ke 15 tahun untuk pulihkan negara dan itu pun belum tentu. Akibatnya, rakyat akan terus menderita buat tempoh yang begitu lama,” ujar beliau ketika menjadi tetamu jemputan dalam program Dari Parlimen yang bertajuk ‘Belanjawan 2020 Penjualan Aset & Hutang Negara’ anjuran Penerangan UMNO TV yang disiarkan secara langsung di facebook UMNO-Online malam tadi.

Mengupas berkaitan Belanjawan 2020 dengan lebih lanjut Tajuddin berkata, hakikat yang harus diterima adalah ramai yang tidak berpuas hati dengan pembentangan belanjawan tersebut disebabkan peruntukan yang diberikan kepada sektor-sektor tertentu amat mendukacitakan.

“Contohnya untuk luar bandar, petani, nelayan dan penternak. Orang Melayu yang ramai dalam sektor ini… apa yang diberikan? Hanyalah duit poket RM50… RM100. Ini tidak mencapai matlamat untuk menutup jurang antara luar bandar dengan bandar dan antara kaum Melayu dan bukan Melayu. Kita dijanjikan kemakmuran bersama tapi kalau setakat bagi duit poket, tidak akan sampai ke manapun kemakmuran bersama ini.

“Sepatutnya mesti ada polisi dan dasar baru yang hebat drastik yang boleh mengubah dan mengangkat status ekonomi luar bandar setara dengan bandar. Ini tidak ada dalam bajet yang dibentangkan. Retoriknya adalah disebut iaitu memacu pertumbuhan untuk mewujudkan kesejahteraaan bersama tapi peruntukan, program dan dasar tidak ada.

“Sebab itu bagi saya Belanjawan 2020 ini biasa sahaja… tidak ada ‘wow’… konon nak ‘Harimau Asia’… ini semua retorik,” bidas beliau.

Tambah Tajuddin, mahu tidak mahu rakyat harus menerima hakikat sebenar bahawa Belanjawan 2020 tidak seperti apa yang dibentangkan.

“Bagaimana mahu jadi ‘Harimau Asia’ kalau ekonomi negara tidak berkembang, konon nak memaju ekonomi negara RM3 trilion tapi nak memacu bagaimana kalau pelaburan tidak ada?

“Memang mereka ada sebut kononnya FDI (pelaburan asing) telah meluluskan 97 peratus tapi setakat lulus sahaja. Sudah bermula ke? Duit sudah masuk ke? Laporan yang saya terima belum… tidak ada malah negara luar tidak yakin kepada kerajaan PH sebab ‘flip-flop’. Ada projek batal… gantung… bila sudah rasa tersilap buat keputusan, sambung semula, siapa yang yakin kalau begitu.

“Untuk melihat keadaan ekonomi negara kita baik atau tidak, indikatornya di mana? Bursa Saham jatuh berapa banyak… hampir RM400 bilion kerugian… inilah indikatornya. Nilai Ringgit Malaysia jatuh hampir 4.2 mata. Ini akan menimbulkan masalah kerana ada benda-benda yang kena import… beras, daging.. jentera pertanian, baja kena import. Kena beli US dollar. Boleh bayangkan kos meningkat begitu besar sekali. Ini membebankan kepada pengusaha sama ada petani peniaga dan sebagainya. Jadi bagaimana boleh dikatakan memaju ekonomi seperti yang diuar-uarkan,” tegas beliau. – UMNO ONLINE