Kita Akan Bekerja Seperti Biasa Di Tanjung Piai – Ismail Sabri


KUALA LUMPUR, 21 Okt – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata parti akan bekerja seperti biasa pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai bulan depan walaupun Pakatan Harapan (PH) mula dilihat turun dengan pelbagai kempen dan sebagainya lagi.

Pada masa yang sama beliau turut melihat PH tidak menunaikan apa yang diperkatakan sebelum ini termasuklah peruntukan kepada rakyat.

“Dulu dia kata jangan beli undi ‘before election’. ‘Don’t use government machinery’, jangan gunakan kedudukan dalam kerajaan untuk membeli undi tetapi sekarang dah mula ‘buying votes’.

“Pergi sana umum RM4 juta, RM5 juta untuk apa…’why now’…dah menang setahun setengah sepatutnya dah umum apa yang dah patut umum tetapi tunggu sebelum pilihan raya,” katanya kepada media di lobi Parlimen, di sini, hari ini.

Secara jelas tegas beliau PH tidak berpegang kepada apa yang diperkatakan sebelum ini malah sepertimana yang terkandung di dalam manifesto mereka sendiri.

“Jadi ‘very clear’ PH tidak pernah berpegang kepada apa yang dia janji, dan dalam manifesto pun dia kata pilihan raya mesti bebas daripada campurtangan kerajaan dan sebagainya tetapi sekarang sebaliknya. Apa pun kita bekerja seperti biasa mendekati pengundi,” tambahnya.

Beliau berkata demikian mengulas berkaitan pengumuman PH berkaitan projek bernilai RM7.3 juta dalam masa kurang seminggu menjelang PRK Tanjung Piai termasuk pemasangan 264 lampu jalan di jajaran jalan raya luar bandar Tanjung Piai dengan kos RM127,776, dan geran bernilai RM230,000 untuk ketua kampung seperti yang diumumkan Menteri Pembangunan Luar Bandar Rina Harun selain Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengumumkan peruntukan RM4 juta untuk menaik taraf kemudahan sukan dan rekreasi di Tanjung Piai, serta peruntukan RM3 juta untuk menaik taraf tiga jeti nelayan di kawasan itu.

Berhubung dengan isu Dewan Rakyat tidak cukup kuorum, beliau yang juga Ketua Pembangkang berkata terpulang kepada kerajaan untuk menanganinya.

“Itu terpulang kepada kerajaan. Kita yang menjaga kuorum kita. Macam sekarang ini kerajaan mahu meluluskan bajet, mereka yang kena jaga parlimen supaya cukup kuorom dan sebagainya.

“Kita pun datang… saya pun pagi-pagi dah ada tetapi tanggungjawab untuk memastikan cukup kuorom adalah di pihak kerajaan, dan timbalan menteri mesti datang. Kita dulu wajib timbalan menteri ada dalam dewan sebab menteri kadangkala ada program rasmi dan sebagainya.

“Jika timbalan menteri ada dalam dewan sudah cukup kuorom. Jadi ini tangungjawab kerajaan untuk memastikan kuorom cukup. Sebab itu saya kata kalau tidak minat bubar parlimen,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.