Belanjawan Kedah 2020: Unjuran Duti Hiburan PH Tidak Masuk Akal


PENDANG, 21 Okt – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tiang Datuk Suraya Yaakob membidas unjuran pendapatan duti hiburan yang tidak masuk akal oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk Negeri Kedah.

Membahas mengenai Belanjawan Kedah 2020 berkenaan Kedah Tourism Master-plan dalam Sidang Dewan Undangan (DUN) Negeri Kedah hari ini, beliau melahirkan rasa pelik dan hairan terhadap unjuran yang dinyatakan.

“Walaupun kerajaan mengumumkan penurunan kadar duti hiburan, daripada 25 peratus turun kepada hanya 7.5 peratus iaitu penurunan 70 peratus untuk pengusaha taman tema di Langkawi, akan tetapi kerajaan memberi gambaran yang kononnya unjuran pendapatan akan melonjak sehingga 600 peratus iaitu RM4.12 juta berbanding tahun 2019.

“Bagaimana pengurangan 70 peratus boleh menghasilkan peningkatan pendapatan sehingga 600 peratus? Kiraan matematik bagaimana yang digunapakai mereka ini,” ujar beliau.

Tambah Suraya, persoalan yang timbul daripada unjuran tersebut adalah, adakah gambaran ini betul atau ianya hanyalah usaha memesongkan persepsi orang awam?

Suraya turut mempersoalkan tentang keperluan keputusan kerajaan negeri untuk mewujudkan sebuah syarikat baru iaitu Kedah Tourism Sdn. Bhd. apabila sudah wujud sebuah syarikat berkaitan pelancongan di bawah Menteri Besar Incorporated (MBI) iaitu Kedah Aman Makmur Tourism Sdn Bhd.

Untuk rekod, pada mesyuarat kedua penggal pertama Sidang DUN pada 14 Ogos yang lalu, kerajaan negeri telah menyenaraikan syarikat Kedah Aman Makmur Tourism Sdn Bhd sebagai tidak aktif.

Justeru Suraya mencadangkan agar adalah lebih baik sekiranya kerajaan hanya mengaktifkan semula syarikat ini daripada mengumumkan penubuhan sebuah syarikat baru di bawah pembentangan baru Belanjawan 2020 ini. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.