Pelbagai Janji PH Dibangkitkan Termasuk Soal PTPTN, Rakyat Sengsara

KUALA LUMPUR 17 Okt – Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Seri Ismail Mohamed Said membangkitkan kembali janji-janji Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu di mana sehingga ke hari ini masih lagi tidak dinikmati oleh rakyat sebailknya dihidangkan dengan pelbagai alasan dan drama.

Pada sesi perbahasan ucapan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan 2020), beliau turut mengimbas kembali apa yang dilontarkan oleh Menteri Pelajaran yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik ketika kempen PRU lalu mengenai tol yang dikenakan di Simpang Renggam.

“Janji-janji palsu PH seperti 50 peratus hutang peneroka akan dihapuskan, harga minyak tetap naik, kadar tarif elektrik dan air tetap naik, harga barang-barang tetap tidak turun walaupun GST dimansuhkan dan SST diperkenalkan kembali. Ia tidak menjadi kenyataan dan ini tidak menggembirakan rakyat.

“Apa beza BR1M dengan BSH… ‘rasuah’ juga tapi kenapa dapat dedak yang kecil dari PH. Ini tidak menimbulkan keadilan rakyat kepada negara kita. Berita buruk untuk petani, nelayan, belia desa dan sektor hartanah. Sedarlah petani, nelayan sebelum kita ‘dipotong’, marilah kita ‘potong’ kerajaan PH yang meneraju kerajaan sekarang ini.” ujarnya.

Ismail turut membandingkan peruntukan dari kerajaan Barisan Nasional (BN) dengan kerajaan PH hari ini iaitu peruntukan industri padi dan beras dipotong daripada RM69.2 juta kepada RM66.1 juta, manakala peruntukan pertanian dipotong daripada RM194.1 juta kepada RM180 juta.

“Peruntukan perikanan dipotong daripada RM178.5 juta kepada RM177 juta, peruntukan Pembangunan Usahawan Desa dipotong daripada RM2 juta kepada RM1.6 juta, peruntukan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) dipotong daripada RM143 juta kepada RM138 juta. Peruntukan PRIMA (Perbadanan PRIMA Malaysia) dipotong daripada RM25 juta kepada RM20 juta,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah ketika bangun mencelah berkata bukan sahaja PH menjanjikan apa yang tidak ditunaikan, malah hendak membentangkan kertas konsultasi rakyat yang kononnya mendapat idea dari pakar-pakar untuk merangka strategi baru kepada PTPTN.

“Sampai hari ini tidak dibentang kertas konsultasi ini, kutipan merudum dan ini kesan daripada tidak ada inisiatif-inisiatif yang dibawa kerajaan pada bajet 2020. Inilah bezanya orang bijak pandai bercakap dengan bijak pandai melaksanakan kerja-kerja yang baik untuk rakyat khususnya pelajar-pelajar dalam negara.”

Beliau yang juga bekas Pengerusi PTPTN menambah semua rakyat Malaysia dijanjikan dan dimomokkan pendidikan percuma namun sebaliknya dapat dilihat hari ini.

“…tidak ada malah bekas-bekas pelajar dan graduan yang gagal membayar hutang akan dihadapkan ke mahkamah. Zaman BN hanya disenarai hitam saja peminjam PTPTN yang tidak membayarnya untuk ke luar negara dan bayar dulu kadar minimum hutang itu,” ujarnya lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.