Graduan Biadap: Siapa Kit Siang Untuk Arah UM Tarik Balik Laporan Polis?

KUALA LUMPUR, 17 Okt – Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris berkata penglibatan ahli politik kerajaan Pakatan Harapan (PH) dalam isu kebiadapan graduan Wong Yan Ke yang menunjukkan protes di pentas konvokesyen adalah tidak masuk akal dan dilihat tidak menghormati keputusan universiti.

Bidasnya, Penasihat Dap, Lim Kit Siang adalah ahli politik yang gemar campur tangan dalam apa-apa jua isu terkini seperti kes yang berkaitan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) dan kini dalam kes protes graduan Universiti Malaya (UM) itu untuk menaikkan populariti beliau.

“Yan Ke sebenarnya adalah boneka kepada Dap di mana beliau pernah berkata “Dulu saya seorang aktivis mahasiswa dan pernah protes isu kenaikan yuran, bas, perkhidmatan jalur lebar (WiFi) dan sebagainya”.

“Perjuangan Yan Ke adalah sia-sia kerana mahasiswa pada hari ini ditipu dan dikhianati kerajaan PH kerana tiada langsung pembelaan terhadap para pelajar terutamanya dalam isu PTPTN dan MyBrain15,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Kenyataan terbaru Kit Siang yang menggesa Naib Canselor UM, Datuk Abdul Rahim Hashim menarik semula laporan polis yang dibuat terhadap Yan Ke di atas tindakan provokasinya menjadikan bapa Menteri Kewangan, Lim Guan Eng itu jelas cuba mencampuri urusan pentadbiran universiti.

Ulasnya lagi, tindakan Yan Kee, juga Presiden Persatuan Belia Baru Universiti Malaya (Umany) yang dilihat pro Dap yang mengeluar dan menayangkan plakad tertera perkataan, ‘Tolak Rasis’ dan ‘Undur VC’ sebaik menerima skrol ijazahnya ketika berada di atas pentas pada sidang konvokesyen itu adalah mencemar nama baik UM dan menghina majlis konvokesyen.

“Beliau seharusnya menjadi contoh kepada para graduan lain bukannya bersikap radikal dan rasis.

“Jika dibiarkan budaya ini akan merebak dan merosakkan adab para mahasiswa,” tambahnya.

Tegas Dr Najmil lagi, ahli politik PH terutamanya Lim Kit Siang dan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tidak wajar campur tangan dalam isu tersebut dan membiarkan polis mengambil tindakan terhadap tindakan kurang ajar dan biadap Yan Ke. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.