Cukai Digital Dikhuatiri Jadikan Malaysia Destinasi Kurang Menarik

ALOR SETAR, 17 Okt –  Rakyat secara umumnya menyambut baik keputusan kerajaan untuk menarik pemain-pemain industri digital sebagai alternatif memastikan negara mampu untuk muncul sebagai peneraju industri digital di rantau Asia Tenggara.

Akan tetapi, bagi Ketua UMNO Bahagian Pokok Sena keputusan kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk mengenakan cukai digital dalam Belanjawan 2020 serta dalam masa yang sama mengharapkan pelabur baru datang melabur dilihat agak pelik.

Menurut beliau kerajaan sepatutnya mengemukakan inisiatif istimewa untuk menarik kemasukan pelabur digital, akan tetapi pengenalan cukai baru ini dikhuatiri bakal menjadikan Malaysia sebuah destinasi yang kurang menarik.

“Dalam situasi ekonomi yang dijangka sukar serta  mencabar dan industri digital malaysia adalah secara relatif adalah lebih baru, mana-mana negara pun akan berebut untuk menarik pelaburan FDI, Malaysia perlu dilihat lebih kompetitif.

“Belanjawan 2020 juga gagal memberi fokus di kedua-dua ekonomi modal dan ekonomi rakyat, malah Belanjawan 2020 hanyalah mirip kepada Belanjawan Barisan Nasional (BN),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi ‘Bicara Tokoh’ yang mengulas ‘Bajet 2020: Bajet Yang Tiada Kesan Positif Terhadap Rakyat’ anjuran UMNO Kedah, di sini, Rabu malam. Program tersebut dihoskan Noran Zamani Jamaluddin.

Tambahnya lagi, apabila sesuatu belanjawan itu dibentang, ianya menggambarkan arah tuju tumpuan perbelanjaan kerajaan.

“Cabang utama ialah ‘capital economy’ atau ekonomi modal manakala yang kedua ialah ‘people economy’ atau ekonomi rakyat. Malangnya Belanjawan 2020 tidak menampakkan fokus untuk mencapai mana-mana daripada kedua tadi. Malah Belanjawan 2020 oleh kerajaan PH hanya mirip kepada belanjawan dan dasar yang dibuat oleh kerajaan BN.

“Dalam usaha untuk menarik pelabur-pelabur luar, struktur cukai negara adalah sangat penting. Malangnya, cukai korporat 24% adalah tinggi berbanding rakan serantau seperti Vietnam dan Singapura yang hanya 17%, begitu juga Indonesia yang sudah mengumumkan akan menurunkan cukai korporatnya kepada hanya 17%. Malaysia sepatutnya mempertimbangkan supaya menurunkan kadar cukai,” tambahnya.- UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.