Belanjawan 2020 Untuk Kapitalis, Bukti PH Tak Mesra Rakyat – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 17 Okt – Belanjawan 2020 telah dibentangkan Jumaat lalu oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang merupakan tahun kedua kepada Pakatan Harapan (PH) dalam melaksanakan pentadbiran, namun malangnya ia tidak memberi kesan apa-apa.

Hal tersebut diakui oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub yang menganggap bajet PH tidak ada apa yang ‘wow’ malah sangat mengecewakan.

“Sebenarnya ini adalah belanjawan yang ditunggu-tunggu oleh rakyat sebab yang terakhir untuk Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11) dan bajet untuk Wawasan 2020 iaitu tahun depan… rakyat menunggu sesuatu yang ‘wow factor’ tapi lepas diumumkan tak ada apa yang ‘wow’ sebaliknya sangat mengecewakan kerana ternyata ia adalah bajet untuk kaum kapitalis dan pinggirkan golongan luar bandar serta golongan miskin,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bera berkata demikian menerusi segmen ‘Dari Parlimen’ terbitan Penerangan UMNO Malaysia bertajuk ‘Belanjawan 2020 Kroni & Capitalism’. Program yang dimoderatorkan oleh Datuk Dr. Noor Azizan Abdul Majid tersebut telah disiarkan secara langsung melalui Facebook UMNO-Online, malam tadi.

Tegasnya, bajet 2020 ini tak ada ‘wow’ kerana hanya ‘copy and paste’ dari bajet-bajet yang diumumkan oleh Barisan Nasional (BN) terdahulu.

“Contohnya seperti kepada masyarakat luar bandar, untuk nelayan misalnya kali ini dapat bantuan sara hidup RM250 sebulan tapi ia dah lama dilakukan oleh BN dan bukan sesuatu yang baru. Dulu kita bagi RM300, PH ni nampak la tahun ini naik sebab tahun lepas bagi RM200 sekarang jadi RM250, jadi ada lonjakan dalam bantuan mereka sedangkan sebenarnya berkurangan daripada apa yang dilakukan oleh BN.

“Macam itu juga untuk penoreh getah yang dapat insentif musim tengkujuh RM200 tapi itu bukan perkara baru… perkara ini BN dah lama buat.

“Sebab itu saya katakan tak ada apa-apa yang baru dalam Bajet PH ini maka sebab itulah agaknya di dalam Dewan Parlimen, dalam dua hari ini nampak kosong saja, tak ada menteri atau timbalan menteri malah semasa saya sebagai Ketua Pembangkang bercakap pun hanya ada Timbalan Perdana Menteri seorang nak dengar, dan hari ini lagi teruk… menteri tak ada, timbalan menteri tak ada, ahli-ahli Parlimen lain pun tak ada,” bidasnya.

Dilaporkan ketidakhadiran ahli-ahli Parlimen kerajaan dalam persidangan Dewan Rakyat mengundang kecaman termasuklah dari anggota Parlimennya, YB Hassan Abdul Karim bangun mencelah bertanyakan perkara terbabit sendiri dalam persidangan semalam.

Ujar Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO, dari awal lagi dah nampak bahawa PH tidak menjaga atau mengutamakan rakyat.

“Bajet 2020 ini menjadi bukti kerajaan lebih utamakan golongan yang kaya dari miskin. Tak ada untuk nelayan, penoreh getah, petani dan bajet bukan untuk orang kampung… tak mesra rakyat tetapi mesra pemaju.

“Kita lihat dasar pemilikan rumah kepada warga asing… kalau di Hong Kong sekiranya pemaju tak boleh jual dalam tempoh tertentu pemaju akan dikenakan ‘tax’ tapi di sini tidak, patutnya fokus PH untuk rakyat memiliki rumah tapi sekarang perlihatkan lebih baik pemaju buat rumah mahal-mahal sebab boleh dijual kepada warga asing.”

Menerusi Belanjawan 2020 Menteri Kewangan memaklumkan penurunan harga kediaman daripada RM1 juta kepada RM600,000 akan dilaksanakan tahun depan untuk pemilikan asing atas alasan sebagai langkah mengurangkan lambakan perumahan yang tidak terjual.

“Sepatutnya dalam keadaan rumah tak laku maka rakyatlah yang untung sebab pemaju mesti jual rumah dan pasti akan turunkan harga rumah kepada yang lebih murah tetapi sekarang polisi yang PH buat langsung tak pentingkan rakyat tapi jaga tauke-tauke besar.

“Yang hairan, apa-apa yang mereka buat pasti ‘u-turn’ lepas dah dilaksanakan. Dulu masa BN buka Forest City kepada warga asing dia tuduh kita nak jual negara tapi hari ini mereka buat.

“Terbukti polisi mereka lebih kepada jaga kepentingan pemaju dan warga asing daripada mengutamakan rakyat sendiri,” katanya lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.