PH Tak Payahlah Sombong Sangat… Kalau Tak Tahu Tanya – Razali

KUALA LUMPUR, 16 Okt – “Kalau tak tahu tanya, kalau malu bertanya sesat jalan. Kerajaan hari ini tak payahlah sombong sangat, dah teruk dah pun… tak ada apa yang nak dimalukan kalau benar-benar sayangkan negara.”

Demikian tegas bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Razali Ibrahim yang bercakap soal masa depan FELDA menerusi program terbitan Penerangan UMNO Malaysia ‘Hujah’, malam tadi.

Katanya, bermain politik berpanjangan tak menguntungkan sesiapa sebaliknya akan memberi kesan besar bukan sahaja kepada FELDA tetapi juga kepada negara.

“Cukup-cukuplah Pakatan Harapan (PH) berpolitik dan mengakulah apa yang Barisan Nasional (BN) buat dulu sebenarnya sudah mengambil kira banyak faktor, buka saja inisiatif-inisiatif yang bukan hanya dalam FELDA seperti yang telah dilakukan sebelum ini, malah kebanyakannya yang dibuat oleh BN disambung, dibuat balik dengan ‘re-branding’.

“Inisiatif-inisiatif yang diumumkan oleh BN untuk FELDA banyak tak disambungkan misalnya pelaksanaan FELDA 2.0 dengan pelbagai inisiatif yang sebenarnya boleh dilaksanakan. Antaranya insentif khas peneroka FELDA, pelupusan hutang tanam semula, kewujudan dana khas dan geran khas serta insentif perumahan,” katanya yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO.

Dalam masa yang sama, beliau menekankan bagaimana kerajaan memainkan peranan penting dalam mengawal harga komoditi tersebut sehinggakan ketika zaman BN mentadbir ada peneroka boleh mendapat hasil RM4,000 – RM6,000 sebulan.

“Bagaimana kita mengendalikan kestabilan harga dulu adalah kerana kita ada satu dasar, kalaupun harga jatuh, peneroka ini masih mempunyai RM1,000 untuk dibawa pulang.

“Sepatutnya sebagai satu badan yang memang menjaga sawit janganlah cadang tanam buluh… dan setakat minum minyak sawit tak akan dapat selesai masalah,” bidasnya yang memetik cadangan dari Menteri Industri Utama, Teresa Kok sebelum ini.

Jelas Razali, masalah utama adalah ‘supply and demand’ iaitu kenapa harga kita stabilkan adalah kerana permintaan sentiasa wujud.

“Dalam kita tahu persaingan minyak masak, kempen boikot minyak sawit di Eropah jadi kita kekalkan ‘demand’ dan pastikan boikot persaingan dapat diatasi, bekerjasama dengan negara yang turut jadi pengeluar misalnya Indonesia.

“Pengeluaran minyak sawit Malaysia dan Indonesia apabila dicampur kita menguasai 85 peratus pasaran minyak sawit dunia, jadi apa yang BN lakukan ketika itu kita cari pasaran baru supaya lebihan minyak itu tak berlaku.”

Ujarnya, hari ini kesan daripada negara China yang mengurangkan pembelian minyak sawit menyebabkan ada lebihan.

“Barangkali mungkin China terasa hati akibat daripada pembatalan oleh kerajaan PH terhadap beberapa perjanjian yang telah dibuat oleh BN sebelum ini.

“Juga isu hal mencampuri urusan pergeseran Pakistan-India yang secara tidak langsung memberi kesan kepada usaha dagang antara negara kita dengan India. Inilah contoh apabila China dan India memberi reaksi kepada dasar-dasar yang kita buat.

“Termasuklah keluarnya aliran tunai dari pelabur-pelabur luar negara dan lemahnya ringgit berbanding US dolar yang secara keseluruhannya memberi kesan kepada harga komoditi.”

Tegas beliau, tidak ada negara yang akan bersimpati kepada harga komoditi ini sebab bukan hasil negara mereka tapi Malaysia-Indonesia tidak ada pilihan.

“Kalau harga minyak sawit jatuh maka tak ada yang akan tolong selain kita sendiri, maka perlu tingkatkan kerjasama, kerana tidak ada orang yang akan melihat potensi komoditi ini selain Malaysia dan Indonesia.

“Bergaduh dengan Indonesia tak menguntungkan kita. Hubungan dengan Indonesia perlu diteruskan dan kerjasama ini bukan hanya melibatkan antara syarikat tetapi akan memberi pulangan yang cukup baik bukan saja kepada warga FELDA dan juga seluruh rakyat serta negara.

“Ini yang kita perlu lakukan untuk masa hadapan, bukan hanya nak salahkan kerajaan terdahulu. Jadi perlu cari bagaimana untuk berdiri sendiri satu masa nanti. Kerajaan hari ini carilah jalan ke depan tanpa asyik menyalahkan kerajaan lama,” katanya.

Terangnya lagi, masa depan FELDA ini perlu kepada satu dimensi baru oleh kerajaan PH terhadap generasi kedua, ketiga dan seterusnya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.