Tak Adalah ‘Dahsyat’ PH Jadi Kerajaan, Urus Ekonomi Bukan Macam Cakap Politik

KUALA LUMPUR, 15 Okt – Bekas Menteri Kewangan ke-2, Datuk Seri Johari Abdul Ghani melihat pembentangan Belanjawan 2020 yang berlangsung Jumaat lalu tidak ada perbezaan dengan sebelumnya selain peningkatan hutang yang begitu mendadak dan juga peruntukan kepada sektor tertentu yang menurun.

“Tak adalah dasyatnya apabila Pakatan Harapan (PH) ambil alih. Urus Ekonomi ini tak boleh politik sangat… sebenarnya banyak faktor yang perlu diambil kira. Dulu mereka pembangkang, tak pernah mengurus dan tak pernah jadi kerajaan maka apabila hari ini mereka jadi kerajaan mereka sendiri mengakui apa yang kerajaan dulu buat selama ini semuanya betul.”

Katanya, hari ini jumlah hutang negara meningkat mendadak hingga mencecah 799 bilion berbanding April 2018 iaitu 681 bilion sementara ekonomi menurun.

“Apa yang kita dah buat selama ini mereka tak tahu, tak perasan, tak jaga. Bila mereka jadi kerajaan hari ini baru tahu… semua ‘reverse’… manifesto yang mereka cakap pun semua ‘reverse’ balik….

“Contohnya apabila GST patah balik jadi SST maka macam mana kerajaan nak salur bantuan-bantuan yang selama ini dah diberi. Nelayan, petani, pesawah, pendidikan… sedangkan kita boleh tambah bantuan-bantuan yang diberi kepada rakyat sebelum ini kerana ada GST… ini sistem yang efisyen, cukai yang cekap, kita boleh mengatasi ‘black economy’ untuk bantu rakyat, tapi bila semua ‘reverse’ ekonomi yang turun dan harga barang tak turun juga.”

Ujar beliau, PH hari ini perlu lihat agar kerajaan tak boleh sampai satu tahap tak dapat bangunkan negara sehinggakan peluang ekonomi tak ada dan pelabur hilang kepercayaan.

“Dalam ekonomi tak boleh politik sangat sebab akan beri kesan… tak boleh syok-syok main cakap sebab akan libatkan banyak kesan kepada negara, rakyat, syarikat-syarikat. Kalau tak boleh cakap tak boleh…. Apa-apa akan beri kesan kepada orang luar yang nak melabur, mereka bimbang, mereka ikuti semua perkembangan dalam negara.

“Orang luar bukan bodoh dan mereka lakukan kajian untuk melabur. Negara kita mesti menunjukkan keyakinan kepada mereka dan signal pertama ialah keyakinan rakyat terhadap kerajaan, adakah stabil atau tidak kerajaan yang ada.”

Bidas beliau, ini bukan masanya untuk kerajaan nak belajar mentadbir.

“Kalau kerajaan yang ada hari ini baru nak belajar mentadbir… tukar balik. Akui kesilapan dan perbetulkannya… tak apalah ada yang ketawa pun tapi ini untuk negara, bukan main-main,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program terbitan Penerangan UMNO Malaysia ‘Hujah’ yang bertajuk ‘Belanjawan Salin Kulit’ mengupas berkaitan isu-isu semasa khususnya pasca Belanjawan 2020 yang dibentangkan di Dewan Rakyat, Jumaat lalu. Program yang dihoskan oleh Datuk Dr. Noor Azizan Abdul Majid tersebut telah disiarkan menerusi laman Facebook UMNO-Online, malam tadi.

Jelas beliau, dulu PH ini pembangkang sedangkan Barisan Nasional (BN) sudah menjadi kerajaan 61 tahun dan tentunya tahu apa-apa yang dijanji adalah berlandaskan keupayaan untuk dilaksanakan.

“Apa yang dibentangkan sepatutnya sepadan dengan mengambil kira apa yang mereka nak buat 2030, untuk ekonomi kena selari perbelanjaan dengan apa yang nak dibuat.

“Dulu Rafizi kata dalam Parlimen, kalau dapat kurangkan korupsi maka akan dapat jimatkan perbelanjaan mengurus kerajaan tapi hari ini saya tengok bajet 2020, perbelanjaan mengurus kita masih tinggi berbanding 2018 yang bernilai 230 bilion… maka lebih rendah kat mana yang dikata kalau PH sendiri pun tak boleh buat apa yang dikata?”

Jelasnya, perbelanjaan mengurus sentiasa meningkat kerana ia dilakukan berdasarkan kepada keseluruhan.

“Mereka janji dalam manifesto semua nak hapus… ini nak hapus.. itu nak hapus tapi PTPTN dalam bajet langsung tak sebut, harga minyak nak turun bawah RM1.50 langung tak turun… tak cerita pun,” katanya.

Tegas beliau, mentadbir kerajaan ini perlu tahu apa itu defisit, apa itu inflasi malah inflasi perlu ada, terlampau tinggi tak boleh, terlampau rendah pun tak boleh dan sebagai kerajaan ia perlu dikawal.

“Masa mereka jadi pembangkang mereka kritik pasal defisit… mereka tak faham berkaitan defisit. Keadaan dimana hasil kita dapat kemudian tolak perbelanjaan pengurusan untuk tadbir kerajaan, tolak belanja pembangunan, kemudian tengok berapa negatif.

“Kita cuba minimakan defisit ini dengan mengambil kira mana-mana yang tak penting kita kawal untuk minimakan kita punya pinjaman. Kita kena ingat bila defisit ini ada maknanya kerajaan perlu meminjam, setiap kali defisit kerajaan perlu pinjam untuk menampung kekurangan tersebut.

“Saya ingat bila kerajaan PH masuk… ingatkan defisit ini akan bertambah kurang tapi rupanya bertambah naik… maka kerajaan perlu cari jalan penyelesaian… kalau berterusan macam ini dan perkembangan ekonomi tak berapa bagus… saya takut nanti defisit ini akan bertambah besar,” ujar beliau lagi yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.