Pandangan Kerajaan PH Bercanggah Dengan Bank Dunia, IMF – Najib

KUALA LUMPUR, 15 Okt – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak menjelaskan kerajaan Pakatan Harapan (PH) telah melakukan kesilapan yang sama dengan membuat andaian pertumbuhan ekonomi untuk tahun 2020 pada kadar 4.8 peratus.

Katanya, walaupun kerajaan PH mensasarkan 4.8 peratus pada tahun hadapan tetapi ia bercanggah pandangan Bank Dunia dan International Monetary Fund (IMF).

“Saya tegaskan bahawa andaian kadar pertumbuhan 4.8 peratus tahun hadapan tidak dapat dicapai sebab asasnya tidak realistik dan semua badan-badan penarafan termasuk IMF dan Bank Dunia mensasarkan 4.3 peratus pada tahun hadapan.

“Tiada mana-mana pihak lain yang mengatakan bahawa kadar pertumbuhan tahun depan lebih tinggi pada tahun ini. Hanya kerajaan PH satu-satunya yang menyatakan demikian,” katanya kepada media di Parlimen, di sini.

Soal beliau, patutkah PH menggunakan kadar 4.8 peratus?

“Jika 4.8 peratus tidak tercapai dan menyebabkan hasil kerajaan terjejas, adakah kerajaan akan jual lagi aset negara secara lambak untuk menampung defisit?
Kerajaan PH sewajarnya harus pandai mencari pendapatan dengan membina aset yang menguntungkan negara,” kata Najib lagi.

Soal beliau lagi, adakah defisit negara akan menjdi lebih jauh berbanding yang diunjurkan untuk tahun hadapan iaitu 3.2 peratus jika andaian ini salah dan hasil kerajaan PH terjejas?

“Terutamanya pada bulan Ogos banyak menurun dan terus menjunam angka-angka dengan begitu ketara. Ini satu keadaan yang amat membimbangkan dan ini ada kaitan dengan pelaburan.”

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan menambah prestasi import barang perantaraan merupakan input bagi eksport bulan-bulan mendatang telah menurun pada Jun sebanyak 2.5 peratus, pada Julai menurun sebanyak 3.4 peratus dan bulan Ogos terus menjunam sebanyak 13.9 peratus.

Malah prestasi import juga telah jatuh pada bulan Jun 23.6 peratus, Julai 13.9 peratus dan Ogos 31.0 peratus, ujarnya.

“Kalau pelaburan menurun, pembelanjaan kerajaan pun mengucup dan ekonomi luar tidak membantu, mana punca untuk kenaikan ekonomi Malaysia.” – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.