Kompaun SPRM: UMNO Bahagian Batu Buat Laporan Polis

KUALA LUMPUR, 15 Okt – UMNO bahagian Batu hari ini membuat laporan polis berhubung notis kompaun yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menyatakan rasa tidak puas hati berhubung beberapa perkara yang berkaitan.

Laporan polis itu dibuat oleh Ketuanya, Datuk Yahaya Mat Ghani di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, di sini, hari ini.

Pada sidang medianya, Yahaya berkata UMNO bahagian berkenaan pada 10 Oktober telah menerima notis daripada SPRM mengenai kompaun RM2.5 juta atas dana politik yang diterima daripada presiden parti pada 2013.

Atas rasa tidak puas hati, kata beliau, UMNO Batu datang ke IPD untuk buat laporan dan berpandangan kes SRC dan 1MDB masih lagi berjalan di mahkamah dan hingga ke hari ini belum lagi selesai .

“Kita berpandangan mana boleh kompaun sedangkan kes masih belum selesai. Keduanya saya nampak SPRM atau Ketua Pesuruhjaya SPRM telah mengeluarkan notis kompaun secara tergesa-gesa,” ujarnya.

Ujar beliau lagi Ketua Pesuruhjaya SPRM telah mengeluarkan satu kenyataan bahawa notis ini dihantar kepada mereka yang menerima sumbagan atau dana politik daripada presiden UMNO khususnya melebihi RM500,000 sedangkan UMNO Bahagian Batu sebagai contoh hanya menerima RM200,000.

“Jadi kenapa penerima RM200,000 juga dihantar notis kepada kita untuk dibayar kompaun sedangkan kenyataannya RM500,000 ke atas. Ini saya tidak faham sebenarnya. Kita serah kepada peguam yang telah dilantik secara berjemaah bersama mereka yang turut sama menerima notis kompaun untuk tindakan selanjutnya,” tambahnya.

Pada masa yang sama beliau turut mempersoalkan berhubung kompaun berkenaan yang telah dikeluarkan oleh pihak SPRM.

“Yang peliknya UMNO Bahagian Batu terima RM200,000… kena RM2.5 juta kompaun, yang menerima 1 juta pun RM2.5 juta kompaun juga dan yang terima RM50,000 pun sama RM2.5 juta juga… saya rasa ini satu ketidakadilan,” katanya.

Semalam, seramai 42 pihak yang menerima kompaun daripada SPRM berhubung dengan notis yang diberikan agensi berkenaan melantik peguam dan akan membuat laporan polis dalam masa terdekat.

Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan yang mewakili kumpulan berkenaan berkata laporan polis yang akan dibuat itu bagi menyatakan rasa tidak puas hati berhubung beberapa perkara yang berkaitan.

“Antara sebab tidak puas hati ialah wang yang diterima daripada presiden parti dan juga perdana menteri pada ketika itu pada tahun 2012 dan 2013, wang yang diterima itu dana politik dan dalam peraturan serta undang-undang Malaysia dana politik dibenarkan.

“Keduanya kami tidak tahu pun wang itu ada kaitan dengan 1MDB, misalnya pada 2012 mana ada lagi kes itu dan kita difahamkan dana 2.6 bilion yang ada dalam akaun Datuk Seri Najib dan kemudian dipulangkan itu pun dimasukkan pada bulan Mac 2013,” katanya. – UMNO OONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.