Kenyataan Latheefa Koya Dipersoal, Memalukan SPRM


KUALA LUMPUR, 15 Okt – Ketua UMNO Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Samad melihat Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya telah memalukan agensi berkenaan apabila berbohong mengenai tindakan terhadap penerima dana yang dikaitkan 1MDB.

Ini kerana menurut beliau, Ketua Pesuruhjaya SPRM itu mengatakan bahawa tindakan telah dikenakan kepada 80 entiti dan individu berasaskan kepada jumlah yang telah mereka terima itu RM500,000 ke atas.

“Itu satu pembohongan yang datangnya daripada Ketua Pesuruhjaya SPRM. Ianya satu pembohongan kerana adanya dikalangan 80 yang menerima tawaran untuk kompaun sebenarnya menerima hanya RM100,000, menerima RM200,000, menerima RM50,000 iaitu dibawah daripada RM500,000.

“Jadi sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM, janganlah malukan SPRM yang bercogan kata ‘Bebas, Telus dan Profesional’. Yang dimalukan sekarang ialah satu badan SPRM yang ditubuhkan oleh kami yang pernah menjadi penggubal undang-undang. Jadi yang memalukan SPRM ialah tindakan kenyataan umum oleh seorang Ketua Pesuruhjaya yang tidak profesional.

“Saya harap pemberita ulangkan soalan balik kepada Cik Latheefa Koya mengapa dia bohong kepada masyarakat, kepada rakyat dengan menyatakan inilah peringkat pertama bagi golongan yang menerima RM500,000 dan lebih. Itu tidak benar,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat UMNO, semalam.

Sidang media berkenaan turut dihadiri penerima yang menerima kompaun daripada SPRM dan 42 pihak yang terlibat diketuai Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahamd Maslan dengan bersetuju melantik peguam dan membuat laporan polis dalam masa terdekat.

Shahrir seterusnya menegaskan, keduanya dari segi tawaran untuk kompaun semuanya dikenakan RM2.5 juta sedangkan sepatutnya 2.5 kali daripada jumlah yang dinyatakan.

“Yang dapat RM200,000 pun dikenakan juga RM2.5 juta. Jadi itu pun tidak betul ikut Akta AMLA. Inilah saya rasa yang sebenarnya Ketua Pesuruhjaya SPRM hari ini mencemar nama baik SPRM sebagai badan penguatkuasa kerana pegawai-pegawai SPRM yang datang jumpa kita ini pun semua dah malu-malu dengan tindakan daripada Ketua Pesuruhjaya yang tidak patuh kepada cogan kata SPRM itu sendiri,” ujarnya.

Ujarnya lagi itu adalah kenyataannya dan sememangnya daripada awal bertekad tidak akan menerima tawaran berkenaan dan kalau proses kemudiannya nak didakwa, dakwalah dan itu cara penyelesaian yang baik tetapi kes yang sedang berjalan biarlah diputuskan.

“Kita ini negara yang ada undang-undang, ‘rule of law’, jadi kita ikutlah peraturan, undang-undang. Kami ini penggubal undang-undang. Saya enam penggal dan enam kali Ahli Parlimen… 30 tahun menjadi penggubal undang-undang dan selama itu menghormati undang-undang dan saya sedih melihat seorang yang menjadi Ketua Pesuruhjaya langsung tidak patuh undang-undang.

“Saya juga akan buat laporan polis dan bersama peguam untuk semakan kehakiman dan kita kalau nak didakwa kita bertemu di mahkamah,” tambahnya lagi. – UMNO ONLINE