Belanjawan 2020 Serba Kekurangan, PH Jangan Amal Dasar Populis – Najib

KUALA LUMPUR, 15 Okt – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamad Najib Tun Razak melihat Belanjawan 2020 yang telah dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Lim Guang Eng, Jumaat lalu sebagai bajet yang serba kekurangan.

Katanya, belanjawan tersebut tidak memberi sumbangan yang besar untuk menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi tahun depan.

“Janganlah melihat bajet sebagai peluang untuk memulihkan sokongan rakyat yang telah menjunam untuk kerajaan Pakatan Harapan (PH) ini kerana setiap bajet perlu menyelesaikan masalah tetapi jangan pula sehingga mengorbankan masa depan negara.

“Janganlah jual semua aset yang boleh memberi pulangan untuk jangka masa panjang, janganlah tinggalkan beban yang tidak boleh diselesaikan oleh kerajaan masa hadapan, janganlah mengamalkan dasar-dasar populis yang tidak menguntungkan rakyat dan negara,” katanya dalam sesi perbahasan pembentangan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat, hari ini.

Dalam yang masa, katanya, jumlah perbelanjaan kerajaan untuk tahun depan juga berkurangan yang ini bermaksud keupayaan kerajaan untuk mendukung ekonomi akan berkurang apatah lagi dalam keadaan eksport dan perdagangan antarabangsa juga semakin menurun.

“Bajet ini tidak ada pemotongan cukai dan bantuan kepada rakyat juga tidak naik.

“Sekiranya kita ada GST, ‘corporat tax’ dan ‘personal income tax’ akan dikurangkan seperti tahun 2015.

“Rancangan Kerajaan BN adalah untuk mengurangkan kadar ‘corporat tax’ yang kini berada pada kadar 24 peratus sedangkan negara jiran seperti Singapura 17 peratus, Vietnam 20 peratus dan Indonesia dijangka akan mengimbangi cukai korporat sama dengan Singapura dalam masa beberapa tahun akan datang malah Amerika Syarikat juga menurunkan kepada 21 peratus tahun lepas daripada 35 peratus. Ini akan menjadikan Malaysia tidak kompetatif kepada pelabur.”

Terangnya yang juga Ahli Parlimen Pekan, bajet ini juga tiada langsung pengurangan cukai kepada golongan M40.

“Golongan ini seperti tidak dihiraukan dan tidak ada apa-apa untuk mereka seperti tahun lepas. BR1M atau BSH sekarang masih sama malah untuk orang bujang hanya yang berumur 40 tahun ke atas dengan pendapatan kurang RM2,000 sebulan.

“Maknanya wang tak sampai ke poket rakyat, malah kenaikan harga minyak tahun depan, bil air, cukai pintu, cukai digital akan menjejaskan daya pembeli rakyat.”

Katanya lagi, pasaran saham negara juga sudah jatuh 350 mata dari hampir 1,900 mata sebelum PRU-14.

“Akibat ini sebanyak 300 bilion telah lesap dari Malaysia. Kita paling corot dalam dunia, jauh dari belakang negara-negara jiran malah pasaran negara seperti Zimbabwe dan Vanezuela lebih baik dari Malaysia.” – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.