Tok Mat Lihat Bajet 2020 Dibuat Sambil Lewa, Persoal Had Kelayakan Warga Asing Beli Rumah


KUALA LUMPUR, 14 Okt – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan melihat Bajet 2020 yang dibentangkan oleh kerajaan pada Jumaat lalu dibuat secara sambil lewa sahaja yang mana bajet yang mengurangkan peruntukan kepada orang-orang laur bandar.

Pada masa yang sama beliau turut berpandangan had kelayakan membeli rumah oleh rakyat bukan negara ini yang diturunkan kepada RM600,000 merupakan satu langkah yang tidak sewajarnya dan jika tidak dipantau masalah besar akan berlaku.

“Kalau dulu RM1 juta sekarang dah diturunkan kepada RM600,000. Bagi orang daripada selatan tanah air kita, RM600,000 berapa sahaja dibahagi dengan tiga. Ini akan mendatangkan musibah kepada kita terutama orang di Johor. Dia punya buat begini kerana apa… kerana mahu menyelesaikan masalah sahabat-sahabat pemaju perumahan nak melepaskan bahawa kononnya terlampau banyak rumah tidak terjual.

“Eloklah banyak rumah tidak terjual dan biarlah dilelong supaya rumah lebih murah, tetapi kalau diturunkan daripada RM1 juta menjadi RM6000,000 maka pemaju akan menaikkan harga rumah yang sekarang ini RM450,000, 500,000 kepada RM600,000 kerana mereka tahu orang luar akan datang membeli rumah begitu murah. Orang Hong Kong akan datang beli rumah di sini dan sebagainya. Ini secara halus dasar-dasar yang disiap sediakan untuk mengimbangi kita supaya ramai penduduk daripada negara akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Ceramah Muafakat Nasional di Rawang di sini, Ahad malam. Turut berceramah Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan pimpinan kedua-dua parti yang lain.

Mohamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau seterusnya berkata penambahan hutan negara memperlihatkan senario sebenar kerajaan Pakatan Harapan (PH) hari ini.

“62 tahun BN memerintah dan Perikatan mentadbir negara hutang rasmi cuma RM686 bilion. PH baru setahun empat bulan mentadbir negara dia dah menambah hutang negara daripada RM686 bilion hutang rasmi sudah menjadi kepada RM800 lebih billion.

“Dia dah meminjam hutang baru RM135 bilion. Bayangkan kalau terus menerus mereka menjadi kerajaan sehingga lima tahun.  Memanglah hutang disebutkan hutang RM1 trilion kerana itulah agaknya angka yang mereka ingin capai… Kalau tahun depan mereka masih menghadapi masalah dia akan meminjam begitu banyak.

“Mereka pinjam RM135 bilion hutang baru dan bayar hutang lama RM85 bilion hutang yang sudah matang. Maknanya seperti yang disebutkan dalam FB saya, ini Salleh Yaakob punya lagu ‘gali lubang tutup lubang’. Kita akan masuk lubang yang lebih besar dan ini satu keadaan yang amat merbahaya sekali. Mereka berhutang, berhutang, berhutang kerana cara dia membuat andaian dalam pembentangan dalam tahunan amat tidak betul,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.