Jual Dan Terus Jual… Karnival ‘Mega Sale’ PH Dibidas


KUALA LUMPUR, 14 Okt – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membidas Pakatan Harapan (PH) yang hari ini tidak ubah seperti mengadakan satu karnival ‘mega sale’, jual dan terus jual berkaitan dengan pelepasan aset-aset negara.

Ini kerana katanya, sehingga ke saat ini, PH tidak pun membentangkan bagaimanakah hasil penjualan aset-aset strategik yang telah dilepaskan akan digunakan untuk membayar hutang negara.

“Sehingga kini, saya difahamkan jumlah penjualan asetaset negara dianggarkan sudah mencecah hampir RM41 bilion, yang kebanyakannya adalah aset Khazanah Nasional Berhad yang selama ini mendatangkan pulangan yang tinggi kepada kerajaan, dan semua ini, terjual dalam masa kurang setahun,” katanya dalam persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Tegasnya, pembangkang akui bahawa jual beli aset ini bukan perkara yang pelik dan salah, tetapi ia haruslah dipimpin oleh pertimbangan komersial yang baik dan strategik.

“Saya juga akui bahawa adalah wajar jika kita menjual dan melepaskan aset-aset yang bermasalah. Persoalannya, apakah rasional menjual aset-aset yang tidak bermasalah dan sedang memberikan pulangan?”

Terdahulu beliau yang juga Ahli Parlimen Bera memberikan contoh aset yang telah dijual iaitu IHH Healthcare Bhd dari Khazanah Nasional kepada Mitsui & Co., ORC daripada M+S kepada beberapa firma Hong Kong dan Singapura serta Hotel Andaz di Singapura.

“Misalnya, pelepasan IHH. Ia bukan sahaja memberikan kita pulangan, malah melepaskan pegangan dalam hospital bertaraf dunia seperti Prince Court Medical Centre, sudah pastilah bertentangan dengan aspirasi menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan kesihatan yang disebutkan sendiri dalam Belanjawan 2020 ini.

“Jika ia bertujuan untuk mengambil peluang keuntungan dan merancang pelaburan semula, saya tuntut Menteri Hal Ehwal Ekonomi untuk membentang pelan sedemikian dengan jelas dan terperinci selepas ini,” katanya.

Pada masa yang sama, beliau memaklumkan bahawa hutang kerajaan persekutuan dijangkakan terus meningkat sebanyak RM58 bilion menjadi RM799.1 bilion bagi tahun 2019 setelah naik sebanyak RM54 bilion pada tahun 2018.

“Ini bermakna kerajaan PH telah menambah hutang sebanyak RM112.3 bilion dalam masa setahun setengah sahaja pemerintahan mereka. Secara puratanya, PH telah menambah hutang sebanyak RM74.9 bilion setahun.

“Dan kalau kita ikut kaedah pengiraan hutang oleh Menteri Kewangan, memandangkan sebelum ini hutang negara dikatakan sebanyak RM1 trilion, ini bermakna hutang negara sekarang adalah sebanyak RM1.1123 trilion, iaitu peningkatan sebanyak RM112.3 bilion yang ditambah oleh PH sendiri dalam tempoh setahun setengah ini.

“Sebagai perbandingan, hutang kerajaan persekutuan hanya bertambah sebanyak RM38.4 bilion pada tahun 2017.”

Jelas beliau, nisbah hutang kerajaan kepada KDNK pula meningkat daripada 48.7% pada suku pertama 2018 sebelum PH mengambil alih kerajaan, kepada 52.7% pada September 2019 selepas mereka memerintah.

“Selain itu, ekonomi negara berhadapan risiko pertumbuhan sangat perlahan; nilai mata wang ringgit berada pada tahan paling lemah, bukan sahaja berbanding mata wang utama dunia tetapi juga mata wang serantau; dan indeks saham terus menurun mencecah paras terendah dalam masa 4 tahun dan pelbagai lagi kegagalan yang jelas.

“Pada masa yang sama Rizab Antarabangsa negara sebenarnya semakin mengecil, iaitu daripada USD107.8 bilion pada akhir suku pertama 2018 kepada USD103 bilion pada suku ketiga 2019.

“Yang ajaibnya, semasa pembentangan Jumaat lepas, Menteri Kewangan menyifatkan rizab antarabangsa negara kita kekal teguh. Adakah maksud YB Menteri Kewangan, ketika berlakunya penguncupan rizab antarabangsa, ia masih layak dikatakan sebagai kekal kukuh?”

Lebih penting, bidas beliau lagi, semua kelemahan dan kerapuhan tersebut tidak juga bertambah baik sekalipun setelah kerajaan menjual pelbagai aset strategik negara di bawah GLC. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.