PH ‘Main Hantam’ Rangka Bajet – Najib

KUALA LUMPUR, 13 Okt- Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak berkata antara dua andaian paling asas apabila merangka sebarang bajet tahunan untuk Malaysia adalah harga minyak dunia dan kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Menurut Ahli Parlimen Pekan itu, apabila andaian tersebut salah dan jauh dari kenyataan, maka bajet negara akan lari kerana hasil kerajaan tidak akan menepati sasaran.

Tambahnya, kedua andaian tersebut yang digunakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dalam Bajet 2019 mereka tahun lepas telah salah.

“PH menggunakan andaian harga minyak dunia US$72 satu tong serta menganggarkan kadar pertumbuhan KDNK tahun 2019 ini sebagai 4.9%.

“Tetapi, purata harga minyak dunia tahun ini hanya US$62 sahaja (harga minyak hari ini adalah US$60) manakala kadar pertumbuhan KDNK adalah 4.7% setakat separuh tahun pertama 2019,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Jelas Najib yang juga bekas Menteri Kewangan, besar kemungkinan bahawa kadar 4.7% untuk tahun ini (yang lebih rendah dari andaian 4.9% dalam bajet 2019) juga mungkin terjejas kerana keadaan ekonomi yang terus merudum pada suku ketiga yang lepas (termasuk kejatuhan import paling teruk sejak 10 tahun dahulu) dan suku keempat yang sedang berlangsung.

“Maka telah terbukti bahawa dua andaian paling asas dalam Bajet 2019 telah salah.

“Lagi parah ialah Bajet 2020 yang diumumkan Jumaat lalu menggunakan andaian kadar pertumbuhan KDNK sebanyak 4.8% untuk tahun depan,” bidasnya.

Ini kerana katanya, hanya kerajaan PH satu-satu sahaja yang mengunjurkan pertumbuhan KDNK tahun depan lebih tinggi dari tahun ini berbanding pandangan pakar-pakar ekonomi.

“Semua penganalisis, ahli ekonomi, syarikat penarafan kredit antarabangsa, bank-bank, Bank Dunia dan IMF unjurkan kadar pertumbuhan yang lebih rendah untuk Malaysia tahun depan.

“Purata untuk unjuran kadar pertumbuhan ekonomi tahun depan adalah 4.3% sahaja – jauh di bawah andaian 4.8% yang digunakan dalam bajet 2020 PH,” ujarnya lagi. Pautan;
https://www.theedgemarkets.com/article/govts-gdp-growth-projection-48-2020-may-be-too-ambitious-say-economists

Justeru itu kata Najib, jika andaian PH itu salah lagi tahun depan, maka bajet tahun 2020 pun akan lari juga sama seperti 2019.

“Ekonomi akan terus merosot manakala hutang negara akan naik lagi tinggi daripada apa yang dirancang.

“Saya tidak tahu kenapa PH ini sering main ‘hantam’ dengan andaian-andaian paling asas ini apabila merangka bajet negara.

“Mereka nak tipu rakyat ke atau nak tipu sendiri? Soalnya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.